KPT tak ambil mudah kes pelajar UMPSA hina Islam, janji selesaikan isu dengan segera

LocalPolitics
25 Feb 2026 • 2:19 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan bahawa kes pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki hina Islam dengan memijak al-Quran sebelum memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial akan diselesaikan dengan segera.

image is not available

KPT akan selesaikan isu pelajar hina Islam segera

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyatakan tindakan tidak beradab itu perlu ditangani segera, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

“Pihak kementerian dan kerajaan tidak mengambil mudah perkara seperti ini kerana ia boleh menimbulkan rasa kebencian antara satu sama lain.
“Setakat ini pihak universiti telah membuat laporan kepada polis dan polis telah mengambil tindakan.
Jadi KPT akan mendapatkan laporan daripada polis terlebih dahulu mengenai perkara sebenar yang berlaku,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini pada Rabu.

image is not available

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar UMPSA ditahan polis untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial. Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata penuntut terbabit ditahan awal pagi tadi bagi siasatan lanjut.

image is not available

Artikel lain: KPT tekankan akses pendidikan tinggi untuk pelajar kurang berpeluang

Sejak Selasa, tular gambar seorang lelaki dewasa memijak al-Quran serta tangkap layar hantaran individu yang didakwa penuntut UMPSA sehingga mencetuskan kecaman ramai.

Mengulas lanjut, Zambry menegaskan sebarang tindakan lanjut di peringkat KPT akan diperincikan selepas siasatan selesai bagi memastikan kes berkenaan tidak dimanipulasi sehingga mengeruhkan suasana.

Sumber: Sinar Harian (Raiham Mohd Sanusi)