Kreativiti 23 pelajar tahun akhir hasilkan produk percetakan buat ramai terpegun!

2 Sep 2022 • 10:24 AM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Seramai 23 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Percetakan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor, telah mempamerkan produk percetakan (pembungkusan) masing-masing pada program ‘PRODIGIES 43rd Degree Show’ di Galeri Lakeside, Kolej Pengajian Seni Kreatif di UiTM berkenaan, baru-baru ini.

Penyelia projek tahun akhir, Nurhanis Nordin berkata, produk pembungkusan yang dihasilkan pelajar tahun akhir itu terdiri daripada empat kategori iaitu kategori makanan, pakaian, perkhidmatan dan kosmetik.

Dalam menyiapkan produk pembungkusan tersebut, Nurhanis menjelaskan, setiap pelajar perlu mencari sebuah syarikat yang sedang menghasilkan produk tetapi belum mempunyai pembungkusan lagi.

image is not available
Nurhanis (kanan) bersama Zuliyanti Hanizan (kiri) yang berperanan membantu pelajar dalam menyiapkan produk percetakan masing-masing.

Menurutnya lagi, ketika pencarian syarikat, para pelajarnya berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Ada yang memberitahu sukar mendapat syarikat dan ada juga yang berkata, syarikat yang dijumpai belum mahu menghasilkan produk lagi.

“Jadi di sini, peranan saya dan seorang lagi penyelia iaitu Zuliyanti Hanizan Ainul Azyan (yang juga Koordinator Bidang Teknologi Percetakan) adalah membantu pelajar mendapatkan syarikat yang bersesuaian dengan panduan tertentu.

“Alhamdulillah, panduan yang kami beri dapat dimanfaatkan oleh pelajar dan akhirnya terhasilkan 23 produk reka bentuk pencetakan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari di UiTM, Puncak Alam.

image is not available

Berkongsi mengenai senarai nama syarikat yang berjaya diperoleh oleh pelajar jurusan Teknologi Percetakan ini, Nurhanis beritahu, ia terdiri daripada beberapa syarikat iaitu Bidara Baroqah, Gaya Warisan Collection, Bioliq, Che Rose dan Madu Kelulut Fresh.

Turut serta Samboi, Bajrai, Galeri Hidayah, NA Kek Lapis Sarawak, Butik MamaRich, Risk Station, FANA Couture dan banyak lagi.

Sementara itu, Nurhanis berkata, menghasilkan reka cipta produk pembungkusan keluaran syarikat tertentu sememangnya bukan perkara senang.

Bagaimanapun, para pelajar UiTM Puncak Alam ini sudah membuktikan yang mereka boleh lakukan walaupun banyak cabarannya.

image is not available

Jelasnya, tiada perkara mudah dalam mendapatkan kejayaan. Oleh itu, Nurhanis sangat berharap agar pelajarnya dapat menggunakan segala ilmu sepanjang pengajian apabila sudah bekerja kelak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Pencetakan Melayu Malaysia, Datuk Badruddin Abu Bakar memuji ‘Prodigies 43rd Generation Degree Show’ kerana berjaya mempamerkan produk dan hasil kerja pelajar (Real Life Project) kepada umum.

image is not available

Katanya, masa dan tenaga untuk menyiapkan sesebuah produk pelajar bukanlah singkat sebaliknya ia mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.

“Sekalung penghargaan saya berikan kepada pensyarah kerana telah memberikan ilmu dan kemahiran kepada mahasiswa yang datang daripada latar belakang berbeza.

“Walaupun telah berkorban masa dan tenaga, namun kumpulan pensyarah ini tetap membantu pelajar sehingga mereka berjaya menghasilkan produk berkualiti,” katanya sebelum merasmikan ‘Prodigies 43rd Generation Degree Show’.

Turut hadir, Ketua Pengajian Seni Digital dan Imejan, Ts Dr Mohd Erman Maharam; Zuliyanti, Nurhanis dan ramai lagi.

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok