Dua angkasawan NASA Barry Wilmore dan Sunita William sudah tersadai di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak Jun tahun lalu. Mereka terlibat dalam misi pertama kapal angkasa Starliner pada Jun 2024 tetapi isu keselamatan menyebabkan misi selama 8 hari kini sudah berlarutan lebih setengah tahun. NASA telah mengesahkan dua angkasawan ini akan akhirnya kembali ke bumi pada 19 Mac.

Mereka akan kembali bersama dua lagi angkasawan iaitu Nick Hague dan Aleksandr Gorbunov menggunakan kapsul angkasa Crew Dragon. Empat angkasawan ini telah digantikan oleh krew misi Crew-10 yang telah tiba ke ISS semalam. Tarikh kepulangan Wilmore dan William beberapa kali ditukar dengan pada asalnya mereka dijadualkan kembali ke bumi pada bulan Februari.
Kapal angkasa Boeing Starliner ialah salah satu lagi kenderaan yang digunakan oleh NASA untuk menghantar krew ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas Space Shuttle berhenti beroperasi hampir sedekad lalu. Selain Starliner, Amerika Syarikat juga menggunakan kapsul SpaceX Crew Dragon untuk membawa angkasawan dan bekalan ke ISS.
Program ini menghadapi pelbagai masalah sehingga menyebabkan Boeing kerugian sekitar $1.5 bilion. Oleh sebab itu Boeing dilaporkan ingin menjual perniagaan aeroangkasa mereka bagi sebagai langkah mengurangkan kos operasi syarikat yang juga terjejas disebabkan oleh isu siri pesawat penumpang 737 Max dan 777X.

