Krisis Asia Barat: ADUN Pahang terima peruntukan RM15,000 seminggu gerak bantuan untuk rakyat

LocalPolitics
11 Apr 2026 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
image is not available
Wan Rosdy (tengah) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Pahang mengambil pendekatan proaktif bagi meringankan beban rakyat susulan isu harga minyak dan subsidi yang terus menjadi perdebatan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, susulan krisis di Asia Barat, kerajaan negeri melaksanakan pendekatan bekerja dari rumah selain menyalurkan bantuan segera kepada rakyat melalui wakil rakyat.

“Sekarang ini saya memberi kepada semua wakil rakyat RM15,000 seminggu untuk mereka membeli barangan makanan asas bagi diagihkan di kawasan masing-masing.

“Bermula dengan golongan paling susah, setiap wakil rakyat akan menggunakan peruntukan itu untuk membeli keperluan seperti beras, minyak, gula dan tepung setiap minggu,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau berkata, dengan peruntukan RM15,000 itu, setiap wakil rakyat mampu membantu kira-kira 300 penerima setiap minggu dan inisiatif berkenaan akan diteruskan sehingga keadaan kembali reda.

Jelasnya, pelaksanaan bantuan itu bermula minggu ini dan membabitkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

**media[3488203]**

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri berjaya mengurangkan hutang kepada Kerajaan Persekutuan daripada RM3.2 bilion kepada di bawah RM1 bilion sejak 2018.

“Selepas kira-kira empat tahun, kita berjaya mengurangkan hutang sehingga di bawah RM1 bilion.

“Bagi saya, paras di bawah RM1 bilion itu sudah memadai kerana jika kita melangsaikan semua hutang, kita tidak dapat melaksanakan perkara lain pula,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan menerima banyak permohonan daripada individu yang ingin menyertai semula UMNO di negeri itu.

“Angka tepat tidak ada, tetapi memang ramai yang mahu masuk semula dan ini satu indikator yang baik,” tambahnya.

 


Perluas inisiatif Barakah Haji, peruntukan RM2.5 juta tahun ini

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pahang meneruskan komitmen kebajikan rakyat menerusi Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji Pahang dengan menyalurkan sumbangan RM750 kepada setiap jemaah haji negeri itu,

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan berkenaan turut disertakan dengan pek makanan retort bagi membantu keperluan jemaah sepanjang menunaikan ibadah.

“Pada tahun ini merupakan tahun keempat inisiatif ini dilaksanakan sejak diperkenalkan pada 2023,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini pada Sabtu.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut membuat keputusan untuk memperluaskan pemberian sumbangan itu dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.5 juta tahun ini.

Menurutnya, jika sebelum ini bantuan hanya diberikan kepada anak Pahang yang mendaftar haji melalui Tabung Haji di negeri itu, namun kini ia diperluaskan kepada semua anak Pahang yang menerima tawaran menunaikan haji menerusi Tabung Haji.

“Inilah semangat yang kita bawa. Selagi mereka anak Pahang, selagi itu kebajikan mereka tetap dalam perhatian kita.

“Itulah pendekatan kita, dasar yang praktikal, adil dan menyentuh kehidupan rakyat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Pahang kini berada di landasan jelas ke arah pembangunan dengan pelbagai pencapaian yang boleh dibanggakan selain usaha yang terus dipergiatkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mendakwa segala perancangan yang dilaksanakan adalah sempurna, namun komited untuk terus menambah baik tadbir urus demi kesejahteraan rakyat.

“Rakyat tidak hidup dengan kata-kata, sebaliknya mereka hidup dengan hasil, kestabilan dan peluang yang kita sediakan,” ujarnya.

Wan Rosdy turut mengingatkan anak-anak Pahang di perantauan supaya tidak melupakan negeri asal serta terus mengekalkan hubungan walau di mana berada.

“Pahang bukan sekadar tempat kita dilahirkan, tetapi tempat yang membentuk jiwa, nilai dan identiti kita,” ujarnya.

Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis berkenaan serta berharap Aidilfitri kali ini membawa keberkatan dan mengukuhkan silaturahim.

“Insya-ALLAH, dengan kebersamaan dan semangat yang kita ada hari ini, Pahang akan terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang makmur, sejahtera dan diberkati,” tambahnya.