
KUALA LUMPUR - Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee digantung keahlian selama dua penggal pilihan raya oleh parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta, selepas didapati melanggar perlembagaan parti.
Perkara itu dimaklumkan dalam sepucuk surat yang dimuat naik Kiandee di akaun Facebook miliknya.
Kiandee berkata, tindakan tersebut dikenakan selepas beliau dikatakan melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti serta kod etika dan tata kelakuan Bersatu.
Ahli Parlimen Beluran itu bagaimanapun mempertikaikan keputusan berkenaan dan menyifatkan tindakan disiplin tersebut sebagai menguatkan persepsi bahawa Lembaga Disiplin parti digunakan sebagai instrumen politik bagi melindungi kepimpinan tertinggi.
Kiandee turut membangkitkan persoalan mengenai struktur lembaga tersebut, dengan mendakwa ia dipengerusikan individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kepimpinan utama parti.
Dalam kenyataannya, beliau juga mempertahankan beberapa aktiviti politik terbaharunya yang menurutnya tidak wajar dijadikan asas tindakan disiplin.
Antaranya termasuk penganjuran program RESET serta kehadirannya dalam satu pertemuan di Bangkok bersama Hamzah Zainudin dan timbalan perdana menteri.
“Jika itu benar-benar satu kesalahan serius, mengapa saya tidak dipecat sahaja?” katanya.
Kiandee turut mengkritik hala tuju semasa parti yang menurutnya semakin tertumpu kepada usaha mempromosikan presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin, sebagai calon perdana menteri pada masa hadapan.
Beliau mendakwa, mekanisme dalaman parti telah digunakan untuk mengetepikan pemimpin yang dilihat sebagai halangan kepada agenda tersebut.
Menurutnya, keadaan dalam parti kini menyaksikan suara yang berbeza pandangan semakin dipinggirkan.
“Akhirnya, hanya mereka yang sentiasa berkata ‘ya’ kepada presiden akan kekal,” katanya.
Kiandee turut mendakwa budaya kesetiaan dalam parti kini banyak dipengaruhi oleh pelantikan politik dan janji pencalonan pilihan raya, yang menurutnya mendorong sebahagian pemimpin untuk terus menyokong kepimpinan.
Katanya, beliau ketika menyertai BERSATU sebelum ini percaya parti itu merupakan sebuah platform perjuangan politik, bukan alat untuk memenuhi cita-cita individu tertentu.
Bagaimanapun, Kiandee menegaskan beliau tidak berhasrat untuk merayu keputusan penggantungan tersebut.
“Saya tidak akan membuat rayuan. Anggap sahaja tempoh rayuan itu sudah tamat,” katanya. - Getaran, 10 Mac 2026
