Krisis kanak-kanak migran Ceuta makin kritikal

6 Aug 2026 • 7:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Krisis kanak-kanak migran Ceuta makin kritikal

CEUTA: Wilayah Sepanyol di utara Afrika, Ceuta memohon bantuan segera daripada kerajaan selepas ratusan kanak-kanak migran tanpa pengiring memenuhi sistem penerimaan pendatang ketika kemasukan besar-besaran merentasi sempadan dari Maghribi minggu lalu.

Pihak berkuasa tempatan memberi amaran keadaan itu kini semakin tidak terkawal dan melangkaui jumlah yang mampu ditampung.

Pemimpin wilayah Sepanyol di utara Afrika itu pada Rabu berkata, jumlah kanak-kanak yang masih berada di Ceuta selepas kemasukan mendadak migran minggu lalu terlalu tinggi sambil merayu bantuan daripada kerajaan.

Sepanyol berkata, 70,000 daripada 72,000 individu yang memasuki Ceuta dari Maghribi dalam kemasukan besar-besaran secara tiba-tiba minggu lalu sudah kembali semula, selepas insiden itu mencetuskan pertikaian antara Sepanyol dan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) yang mahukan pendekatan lebih tegas terhadap isu imigresen.

Namun, kira-kira 2,500 orang yang masih berada di Ceuta termasuk ratusan kanak-kanak bawah umur tanpa pengiring yang berdepan keadaan sukar dengan akses terhad kepada makanan, air, tempat perlindungan dan kemudahan sanitasi.

Pemimpin Ceuta, Juan Jesus Vivas daripada parti pembangkang utama berhaluan konservatif, Parti Popular (PP), memberitahu penyiar awam RTVE, pihak berkuasa kini menjaga 1,100 kanak-kanak sedangkan kapasiti asal pusat perlindungan hanya 90 orang.

“Ini adalah keadaan yang benar-benar tidak dapat dikekalkan. Terdapat risiko tinggi terhadap ketenteraman dan keselamatan awam apabila pusat penerimaan pendatang sudah terlalu sesak,” tegasnya.

Kumpulan migran muda terus berkeliaran di jalan-jalan Ceuta pada Rabu, berkumpul di taman dan pantai ketika pihak berkuasa berusaha mengenal pasti serta menempatkan mereka, menurut tinjauan wartawan AFP.

Pegawai tertinggi kerajaan Sepanyol di Ceuta, Miguel Angel Perez mengakui golongan kanak-kanak itu adalah keutamaan dan satu kebimbangan besar.

Badan kebajikan Save the Children menganggarkan kira-kira 1,000 kanak-kanak bawah umur yang tidak dilindungi berada dalam kalangan migran yang masih berada di Ceuta.

“Kami meminta bantuan daripada seluruh Sepanyol melalui kerajaan pusat berhaluan kiri, kata Vivas.-AFP/AGENSI

The post Krisis kanak-kanak migran Ceuta makin kritikal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved