Krisis minyak bakal menggoncang kesihatan awam

LocalHealth & Fitness
9 Apr 2026 • 12:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kos ubatan dan alat perubatan dijangka meningkat kerana industri farmaseutikal sangat bergantung kepada petrokimia yang terhasil daripada bahan api fosil.

JIKA anda bukan pengguna kenderaan diesel persendirian, mungkin anda belum merasai sepenuhnya kesan konflik AS-Iran sejak 28 Februari 2026. Walaupun harga diesel melonjak tiga kali ganda, majoriti rakyat masih menikmati subsidi RON95 bagi 200 liter sebulan.

Setakat ini, harga barangan keperluan dan corak perbelanjaan masyarakat belum berubah ketara secara umum.

Namun, konflik di Timur Tengah sebenarnya mula memberi tekanan senyap kepada banyak sektor dan tidak terkecuali sektor kesihatan awam.

Sama ada kebisuan Menteri Kesihatan dalam hal ini disengajakan atau sebaliknya, rakyat berhak tahu bagaimana ia memberi kesan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan kita.

Kenaikan harga minyak mentah memang menambah pendapatan negara, dengan setiap kenaikan AS$10 (RM39.83) setong harga minyak mentah Brent dianggarkan menambah sekitar RM3 bilion kepada pendapatan negara.

Namun pada masa yang sama ia turut meningkatkan beban subsidi petrol kerajaan antara RM3.5 bilion hingga RM4 bilion.

Keadaan ini meletakkan Kementerian Kewangan dalam kitaran negative fiscal feedback, sekali gus melebarkan defisit ekonomi dan meningkatkan nisbah hutang berbanding KDNK semasa negara secara berterusan dan membimbangkan.

Penjimatan subsidi tidak cukup hadapi krisis

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026 mengunjurkan bahawa negara dapat menjimatkan sekitar RM15.5 bilion setahun melalui penyasaran subsidi RON95, diesel, tarif elektrik serta pengapungan harga ayam dan telur. Unjuran dibuat berasaskan harga minyak mentah pada paras AS$70 (RM270) setong.

Namun, kerajaan sudah pun membelanjakan kira-kira RM700 juta sebulan bagi subsidi RON95 dan diesel sebelum kemelut AS-Iran tercetus. Kenaikan harga bahan api yang berlaku akibat kemelut ini hingga mencecah ke paras AS$90 (RM358) hingga AS$100 (RM398) setong, menyebabkan subsidi kerajaan melonjak kepada RM3.5 bilion sebulan.

Sekiranya ia berlarutan lebih panjang, kerajaan perlu menyediakan tambahan RM16.8 bilion, sekali gus menghapuskan penjimatan yang dijanjikan. Walaupun Belanjawan 2026 memperuntukkan RM2 bilion di bawah Simpanan Luar Jangka untuk keperluan mendesak dan rangsangan ekonomi, jumlah itu masih kecil berbanding kesan krisis ini terhadap ekonomi negara.

Disiplin kewangan KKM perlu diteliti

Jika diteliti kedudukan kewangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula, kementerian ini berdepan kelemahan dalam merancang dan melaksanakan perbelanjaan, khususnya melibatkan perbelanjaan pembangunan.

Berdasarkan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023 hingga 2026, pada tahun 2023 KKM mencatat perbezaan 11.12 peratus antara anggaran dan perbelanjaan sebenar, manakala pada tahun 2024 jurang itu meningkat kepada 67.13 peratus. Ini bermakna hanya sekitar satu pertiga daripada peruntukan pembangunan digunakan.

Jika trend ini berterusan, pada tahun 2026 KKM dijangka gagal membelanjakan peruntukan pembangunan hingga RM4.52 bilion. Keadaan ini boleh menjejaskan pelaksanaan projek utama seperti peralatan dan kenderaan (RM1.32 bilion), kemudahan hospital (RM820 juta), perkhidmatan kesihatan luar bandar bandar (RM546 juta), hospital baharu (RM538 juta), serta ubah suai dan naik taraf (RM405 juta).

Kesimpulannya, Malaysia kini sedang bergelut dengan dua ketempangan iaitu kedudukan fiskal Persekutuan yang tertekan akibat tanggungan subsidi RON95 serta kelemahan KKM membiayai pembaikan fasiliti dan perkhidmatan kesihatan.

Kesan konflik kepada sektor awam

Realitinya, lonjakan harga minyak akan turut menekan sektor kesihatan awam dan rakyat yang bergantung kepada perkhidmatannya. Secara umum, kesannya dapat dilihat melalui tiga dimensi utama iaitu rantaian bekalan ubat dan alat perubatan, peningkatan kos tenaga dan logistik, serta inflasi perubatan yang akhirnya ditanggung pengguna.

Malaysia mengimport produk farmaseutikal bernilai RM8.2 bilion pada tahun 2025 dengan 30 peratus daripadanya datang daripada India dan lebih 40 negara lain turut terlibat dalam rantaian bekalan ubatan negara.

Kepelbagaian sumber ini membantu mengurangkan risiko gangguan bekalan dan Pharmaniaga juga memberi jaminan bahawa stok ubatan masih stabil serta mencukupi.

Namun begitu, kestabilan bekalan tidak bermaksud kos akan kekal rendah. Kos ubatan dan alat perubatan dijangka meningkat kerana industri farmaseutikal sangat bergantung kepada petrokimia yang terhasil daripada bahan api fosil.

Petrokimia merupakan bahan asas dalam penghasilan Active Pharmaceutical Ingredient (API), seperti antibiotik dan paracetamol.

Selain itu, bahan berasaskan petrokimia seperti polyethylene, polystyrene dan PVC digunakan secara meluas dalam peralatan perubatan sekali guna serta pembungkusan ubat. Ini menunjukkan bahawa banyak komponen penting dalam sistem kesihatan terdedah kepada turun naik harga minyak mentah global.

Pada masa yang sama, perkhidmatan penjagaan kesihatan juga bakal menanggung kenaikan kos tenaga dan logistik. Suruhanjaya Tenaga telah memberi amaran tentang kemungkinan kenaikan tarif elektrik susulan peningkatan kos bahan api.

Oleh sebab sebahagian gas asli yang diimport Malaysia tertakluk kepada harga pasaran semasa, sebarang kejutan harga global akan memberi kesan kepada hospital kerajaan. Penggunaan tenaga di hospital-hospital sememangnya memerlukan sumber tenaga yang tinggi untuk pencahayaan, penghawa dingin, mesin MRI, imbasan CT, sistem sokongan hayat, serta kawalan iklim khas di wad tertentu.

Akhirnya, semua peningkatan kos ini akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk inflasi perubatan. Caj rawatan boleh meningkat di sektor awam dan swasta.

Bagi pemegang takaful pula, perlindungan sedia ada mungkin belum mencukupi kerana pelaksanaan penuh pelan MHIT asas hanya bermula pada tahun 2027. Ini mewujudkan jurang perlindungan yang menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kos rawatan yang semakin tinggi tanpa jaringan keselamatan yang benar-benar kukuh.

Tindakan segera perlu diambil

Perlu disedari, krisis ini bukan sekadar melibatkan isu ekonomi, tetapi juga isu kesihatan awam yang memerlukan tindak balas segera dan menyeluruh di peringkat tertinggi kerajaan.

Sidang khas Parlimen wajar diadakan segera bagi membincangkan secara telus kesan krisis Asia Barat terhadap ekonomi dan kebajikan rakyat, termasuk kedudukan kewangan negara, perbelanjaan luar jangka, langkah penjimatan dan kemungkinan penangguhan projek infrastruktur penting.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu menggubal langkah pemulihan ekonomi yang komprehensif, khususnya melalui diversifikasi rantaian bekalan untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber bagi ubatan, bahan api dan barangan keperluan, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi dan kesinambungan perkhidmatan kesihatan awam negara ketika krisis.

Tanggungjawab kita sebagai rakyat

Dalam konteks hari ini, tindakan paling patriotik yang boleh kita lakukan sebagai rakyat adalah mengurangkan beban sistem kesihatan negara.

Angka-angka ini berbicara dengan lantang: kos rawatan diabetes sahaja mencecah RM4.4 bilion setahun, manakala kos merawat pesakit berkaitan penggunaan rokok yang merangkumi penyakit kardiovaskular dan kanser paru-paru menjangkau RM6.2 bilion setahun.

Apabila sistem kesihatan awam sedang tersepit antara tekanan fiskal kerajaan dan lonjakan kos operasi akibat krisis minyak global, setiap individu yang berjaya mengelakkan penyakit kronik yang boleh dicegah adalah satu sumbangan kepada negara.

*Ahmad Shauqi Johara ialah penyelidik di Yayasan Strategik Lestari

View Original Article