KETEGANGAN geopolitik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat bukan sekadar isu serantau, sebaliknya memberi kesan langsung kepada ekonomi global, khususnya pasaran minyak mentah.
Setiap kali konflik memuncak, harga minyak melonjak dan negara pengguna seperti Malaysia tidak terkecuali menerima tempiasnya.
Dalam konteks ini, perbincangan mengenai peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) kembali hangat diperkatakan. Persoalannya, adakah ini benar-benar masa sesuai untuk rakyat Malaysia beralih kepada EV atau kita masih belum bersedia?
Hakikatnya, pasaran EV di Malaysia menunjukkan perkembangan positif. Penjualan EV meningkat saban tahun, didorong oleh insentif kerajaan seperti pengecualian cukai dan pembangunan infrastruktur asas.
Kemunculan jenama tempatan seperti Proton e.MAS turut merancakkan lagi landskap EV negara, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna daripada pelbagai segmen harga.
Namun, realiti penggunaan EV masih berdepan cabaran. Isu utama yang sering dibangkitkan ialah kekurangan stesen pengecas, khususnya di luar bandar dan lebuh raya utama. Walaupun usaha memperbanyakkan stesen pengecas sedang giat dijalankan, jurang infrastruktur masih ketara.
Dari sudut kelebihan, EV menawarkan kos operasi yang lebih rendah, kurang penyelenggaraan dan sifar pelepasan karbon ketika digunakan. Ini selari dengan aspirasi negara ke arah kelestarian alam sekitar.
Namun, kelemahannya juga tidak boleh dipandang ringan. Selain isu infrastruktur, harga kenderaan yang masih tinggi, jarak pemanduan terhad serta masa pengecasan yang lama menjadi penghalang utama. Tidak semua pengguna bersedia mengubah gaya hidup semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu ini.
Justeru, peralihan kepada EV tidak boleh dilihat sebagai trend semata-mata, tetapi memerlukan ekosistem yang lengkap. Kerajaan, pemain industri dan pengguna perlu bergerak seiring bagi memastikan transformasi ini benar-benar berkesan.
Krisis minyak mungkin menjadi pemangkin kepada perubahan. Namun, tanpa kesiapsiagaan menyeluruh, peralihan kepada EV berisiko menjadi beban baharu kepada rakyat.


