
BOGOTA (Colombia): Angka kematian dalam tunjuk perasaan di seluruh negara di Peru yang tercetus susulan pemecatan bekas Presiden Pedro Castillo meningkat kepada 26, kata pihak berkuasa pada Ahad.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan 61 orang lagi sedang menerima rawatan di hospital, lapor Agensi Anadolu.
Beribu-ribu orang berhimpun di jalan raya di kebanyakan bandar menuntut Presiden baharu Dina Boluarte meletak jawatan dan membebaskan Castillo yang kini dalam tahanan.
Di Twitter, Pejabat Ombudsman Peru menuntut penyiasatan segera ekoran kes kematian dalam bantahan tersebut.
Pada 7 Dis, dua menteri meletak jawatan berikutan kes kematian semasa protes. Cadangan Boluarte untuk mengadakan pilihan raya Disember depan juga ditolak dalam undian Kongres.
Peru mengisytiharkan darurat di seluruh negara selama 30 hari apabila pertempuran berlaku antara polis dan penunjuk perasaan di beberapa kawasan susulan pemecatan dan penahanan Castillo pada 7 Dis.-Bernama


