DALAM cabaran ekonomi global yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik akibat perang di Asia Barat kini sangat memberi kesan kepada turun naik harga komoditi. Peralihan Tenaga (energy transition) dunia semakin mendapat perhatian sehingga menekan peri pentingnya pengamalan kelestarian seluruh dunia.
Negara yang bijak bukan hanya mengejar sumber baharu tetapi akan memaksimumkan apa yang sudah tentu ada di tangan. Malaysia sebenarnya memiliki satu sumber strategik yang sering dipandang kecil: Minyak Masak Terpakai atau Used Cooking Oil (UCO).
Pengalaman sebagai pemain industri yang mengeksport UCO ke Eropah, saya melihat sendiri bagaimana bahan yang dianggap sisa di dalam negara ini dihargai sebagai komoditi premium di luar negara, khususnya bagi penghasilan biodiesel dan Sustainable Aviation Fuel (SAF). Persoalannya, adakah kita sudah mengurus potensi ini dengan cukup cekap dan berani?
Angka tidak pernah menipu. Malaysia dianggarkan mengeksport ratusan ribu tan UCO setahun. Pada 2024 sahaja jumlah eksport dilaporkan melebihi 400,000 metrik tan. Dengan harga pasaran antarabangsa yang boleh mencecah antara AS$800 (RM3,176) hingga AS$1,200 (RM4,765) per metrik tan bergantung kepada kualiti dan permintaan, potensi nilai eksport mencecah antara RM1.5 bilion hingga RM2.0 bilion setahun. Itu belum mengambil kira kesan gandaan ekonomi kepada sektor logistik, penyimpanan, pengujian makmal, perkhidmatan kewangan dan peluang pekerjaan di peringkat tempatan.
Apa yang lebih penting, permintaan global dijangka melonjak. Kesatuan Eropah (EU) telah meningkatkan keperluan bahan mentah berasaskan sisa ini untuk memenuhi mandat tenaga boleh diperbaharui mereka menjelang 2030. Industri penerbangan pula sedang mempercepat penggunaan SAF bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih.
Persoalannya bukan lagi samada pasaran berkenaan wujud? Tetapi samada kita sudah bersedia?
Potensi domestik yang belum dimaksimumkan sangat ketara.
Potensi domestik belum dimaksimumkan
Malaysia mempunyai lebih 200,000 premis makanan berdaftar dan jutaan isi rumah yang menggunakan minyak masak setiap hari. Jika dianggarkan hanya 30 peratus hingga 40 peratus daripada sisa minyak masak ini dapat dikumpul semula secara sistematik, negara berpotensi menambah puluhan ribu tan lagi bekalan UCO setahun.
Dengan sistem pengumpulan tersusun, insentif komuniti dan digitalisasi penjejakan bekalan (traceability), jumlah eksport boleh dipertingkat sekurang-kurangnya 20 peartus hingga 30 peratus dalam tempoh beberapa tahun. Namun di sinilah cabaran sebenar bermula.
Birokrasi perlu diperhalusi
Industri UCO hari ini tertakluk kepada pelbagai keperluan pelesenan dan pemantauan, termasuk oleh Malaysian Palm Oil Board (MPOB) di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pihak berkuasa tempatan.
Pengawalseliaan adalah perlu. Namun proses yang berlapis, kelulusan yang memakan masa dan ketidaksamarataan tafsiran syarat di lapangan boleh menjadi penghalang kepada pemain industri yang tulen dan berintegriti.
Kritikan ini bukan untuk melemahkan peranan MPOB, sebaliknya untuk menguatkannya. MPOB perlu menilai semula proses pelesenannya agar lebih efisien, telus dan berasaskan risiko (risk-based regulation).
Pemain industri yang mematuhi piawaian jangan sampai menjadi mangsa, turut sama terhambat operasinya dek kerana penegasan pihak berkuasa terhadap kumpulan pemain yang tidak berdisiplin. Kumpulan pemain yang berintergriti tinggi dan bertaraf antarabangsa ini wajar diberi laluan lebih pantas untuk berkembang di negara ini.
Apatah lagi andainya mereka yang datang ke negara ini siap dengan rakan kongsi tempatan (Local Partner) dengan pelaburan asing langsung (FDI) yang tinggi bagi industri ini. Mereka ini mesti diurus keperluan perlesenannya secara khusus, tanpa persepsi yang pukul rata bersekali dalam satu raga dengan pemain runcit (Spot-Trader) tempatan umum yang lain.
Dalam masa yang sama, tidak dinafikan penguatkuasaan perlu juga diperketat terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan, termasuk aktiviti manipulasi bahan mentah seperti minyak masak subsidi atau penyeludupan yang boleh merosakkan reputasi negara di mata pembeli Eropah. Tindakan tegas dan pendakwaan terbuka terhadap pesalah adalah mesej jelas bahawa Malaysia tidak berkompromi dengan integriti perdagangan.
Ringkasnya adalah perrmudahkan yang berintergriti dan bertegas hanya pada yang culas.
Keperluan dasar lebih berani
Tidak cukup dengan itu, dasar yang lebih berani sangat diperlukan oleh kerajaan. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) perlu mengiktiraf UCO sebagai subsektor strategik dalam ekonomi hijau.
Antara langkah yang boleh dipertimbangkan:
• Insentif cukai dan geran automasi untuk fasiliti penapisan dan sistem penjejakan digital.
• Skim pembiayaan hijau khusus melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan SME Bank bagi menyokong PKS dalam rantaian bekalan.
• Platform penyelarasan satu pintu untuk lesen dan kelulusan, diselaras melalui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
• Peranan lebih agresif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam membuka pasaran baharu di Asia Timur dan Timur Tengah bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu blok perdagangan (Eropah).
Di peringkat kewangan pula, Bank Negara Malaysia juga boleh memperluas kesedaran penggunaan instrumen lindung nilai mata wang bagi melindungi pengeksport daripada ketidaktentuan kadar tukaran asing.
Daripada sisa kepada sumber strategik negara
UCO bukan lagi isu sisa domestik. Ia adalah komoditi global yang berkait langsung dengan agenda tenaga bersih dunia. Jika diurus dengan cekap, sektor ini boleh menjadi penyumbang tetap berbilion ringgit kepada ekonomi negara, sambil mengurangkan pencemaran dan memperkukuh imej Malaysia sebagai negara yang serius dalam ekonomi kitaran.
Kita sering bercakap tentang mencari sumber pertumbuhan baharu. Hakikatnya, sebahagian daripadanya sudah berada di dapur kita sendiri.
Yang diperlukan sekarang ialah keberanian untuk memperkemas dasar, ketegasan dalam penguatkuasaan, dan kecekapan dalam pelaksanaan.
Hanya dengan usaha-usaha gigih ini, industri ini akan berevolusi lebih pantas menjadikan Malaysia bukan sekadar sebagai pengeksport utama bahan mentah sisa UCO kepada pengeksport sumber tenaga baharu siap diproses seperti bio-diesel yang sudah tentu lebih tinggi harga dan nilainya.
Dalam perlumbaan ekonomi abad ke-21, yang paling bernilai bukan apa yang kita gali dari bumi, tetapi apa yang sudah sediada pada kita untuk diurus dengan bijaksana.
*Mohd Arifin Adenan ialah Pengarah Hal Ehwal Korporat & Perhubungan Perindustrian

