23 MEI 2026
8.40 pagi
Nur Izzati Humaira Azizul, 19, dilapor mendaki Bukit Changkat Asa, Tanjong Malim. Laporan polis menyebut dia mendaki bersama ibu, adik, ibu saudara dan dua orang sepupu.
10.50 pagi
Ketika perjalanan turun, kumpulan pendaki berhenti berehat. Nur Izzati kemudian meminta kunci kereta dan beg galas daripada ibunya kerana mahu turun terlebih dahulu untuk berehat di dalam kereta kerana kepenatan serta tidak tahan panas.
11.35 pagi
Ibu Izzati tiba di kawasan parkir, namun mendapati Nur Izzati tiada di kereta. Pada ketika ini, beliau dipercayai hilang semasa menuruni bukit seorang diri.
**media[3533477]**
1.26 tengah hari
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan berkaitan kehilangan Nur Izzati. Pasukan bomba digerakkan ke lokasi, dan pencarian dimulakan dari kawasan terakhir beliau dipercayai dilihat.
2.30 petang
Polis Hulu Selangor menerima maklumat kejadian daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim. Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) kemudian dibuka untuk operasi mencari dan menyelamat.
**media[3533478]**
4.38 petang hingga 11.53 malam
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dalam keadaan hujan renyai sebelum dihentikan sementara pada lewat malam. Antara agensi terlibat termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung dan sukarelawan.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja perempuan hilang ketika mendaki di Tanjung Malim
Nur Izzati Humaira masih hilang, lokasi pencarian seluas 0.43km persegi
Polis teliti faktor luaran kes remaja sesat di Bukit Changkat Asa
'Masih bernyawa atau tinggal jasad, kami harap Nur Izzati ditemui' - Bapa
**media[3533480]**
24 MEI 2026
Operasi pencarian disambung. Pasukan SAR melibatkan 76 anggota bomba, sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta dibantu dua anjing pengesan dan tiga unit dron.
Kawasan pencarian dilaporkan meliputi 0.436 kilometer persegi. Namun sehingga petang Ahad, Nur Izzati masih belum ditemui.
Tiada petunjuk baharu yang meyakinkan. Ada kesan tapak kasut ditemui, tetapi belum dapat dipastikan milik Nur Izzati. Selipar dan botol air ditemui, namun disahkan bukan miliknya.
25 MEI 2026
Operasi SAR masuk hari ketiga. Radius pencarian diperluaskan kepada 0.5 kilometer persegi. Pasukan SAR menggunakan teknik ‘sweeping’ dengan tumpuan di kawasan timur PKTK.
Setakat tengah hari, seramai 90 individu dilaporkan terlibat dalam operasi SAR membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan sukarelawan. Namun, pihak bomba memaklumkan masih tiada petunjuk baharu dan pencarian masih berpandukan maklumat keluarga.
**media[3533482]**
26 MEI 2026
Nur Izzati ditemukan meninggal dunia oleh pasukan SAR sekitar pukul 11.59 pagi di kawasan kebun berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang.
Mayat mangsa ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari PKTK.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.
