
Berita baik buat peminat ‘Fanatik’ KRU, kumpulan unggul 90-an ini bakal mengubat rindu anda kerana mereka bakal tampil dengan album baru dan konsert jelajah hasil kerjasama dengan syarikat rakaman terkenal, Sony Music Entertainment Malaysia!
Karya yang dinanti-nantikan
Mereka bakal menghasilkan sebuah single dan album baharu disamping merancang untuk mengadakan siri konsert jelajah khas untuk peminat-peminat mereka. Sesungguhnya inilah sebuah karya yang ditunggu-tunggu peminat ‘Fanatik’ KRU sejak kemunculan mereka di era 90-an dulu.
“Sebenarnya kami tak anggap kemunculan ini sebagai ‘comeback’. Kami bertiga ada saja, cuma kurang aktif dalam industri kerana sibuk dengan komitmen masing-masing. Namun, kami akui bahawa kami rindu untuk bersama macam dulu.
Jadi, kami harap dapat mengubat rindu peminat yang pastinya menantikan lagu-lagu balada kami yang evergreen, selain lagu rancak yang menjadi ‘trademark’ KRU,” kata Norman pada sesi sidang media KRU Signing Ceremony yang berlangsung di Aloft Hotel, Kuala Lumpur pada 10 Oktober lepas.
Masih dengan genre muzik yang sama

Bercakap mengenai konsep album yang akan dihasilkan, ia masih mengekalkan genre muzik yang sama ketika era kemunculan mereka di era 90-an. Walau bagaimanapun mereka akan tetap menyuntik elemen muzik trending masa kini bagi menyesuaikan selera golongan muda seperti Gen-Z.
Dalam mengubati rindu peminat setia mereka, mereka juga perlu mengikut arus dan rentak generasi muda agar dapat menarik perhatian peminat yang baru.
“Saya yakin dengan kematangan kami dan pengetahuan dalam bidang muzik, album ini berpotensi menjadi yang terbaik daripada KRU.
Kami selesa dengan ‘sound’ yang sinonim dengan KRU sejak dahulu, dan bangga dengan identiti muzik kami,” jelas Norman.
Tidak sabar dan teruja untuk dengarkan album terbaru yang bakal dihidangkan KRU, sementara itu bolehlah kita melayan lagu yang pernah (dan masih) popular seperti Awas, Fanatik, Mengerti, Ooh La La, dan lain-lain.
Mengenai KRU

KRU merupakan sebuah kumpulan pop dan hip hop Malaysia yang ditubuhkan pada 1992. Ia dianggotai oleh tiga adik beradik lelaki Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim. Kumpulan KRU telah mengembangkan lagi bidang yang diceburi mereka dengan menubuhkan syarikat rakaman mereka yang dikenali sebagai KRU Records. Selain mengembangkan lagi industri muzik Malaysia, KRU juga menubuhkan syarikat mereka sendiri, KRU Studios yang mengkhususkan industri media dan hiburan di Malaysia.
Pada 18 April 2018, kumpulan ini mengumumkan pembubaran mereka selepas 25 tahun bersama selepas konsert terakhir mereka yang telah diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 Mei.
Tiga beradik ini mula menghasilkan muzik sendiri sejak di bangku sekolah lagi apabila salah seorang ibu saudara mereka membeli papan nada mainan untuk Norman sempena hari jadinya yang turut mencetus minat adik-adiknya terhadap muzik.
Ketika adik-beradik bin Abdul Halim menghabiskan waktu remaja mereka di London, mereka terdedah kepada pelbagai irama muzik Barat. Pada masa itu muzik Melayu dipenuhi lagu berentak jiwang dan rock balada. Mereka juga merupakan penyokong pasukan bola sepak Selangor, pernah menulis lagu rap bertajuk Viva Selangor untuk pasukan kegemaran mereka, disusuli oleh lagu Merah Kuning. Ketika itu mereka dikenali sebagai SRU – Selangor Rappers Unit.
Semenjak itu, Norman, Yusry dan Edry mula menulis lebih banyak lagu original. Tanpa pengetahuan mereka seorang rakan sekampus Norman menghantar demo mereka kepada syarikat rakaman EMI (Malaysia). Pengurus syarikat ketika itu, Calvin Wong, menyukainya dan memanggil adik-beradik itu untuk uji bakat. Tidak lama kemudian, pada 19 Mei 1992, lahirnya kumpulan KRU.
Kumpulan KRU merupakan kumpulan rap yang paling diminati oleh para remaja sekitar tahun 90-an. Mereka telah terlibat dalam pelbagai kontroversi tetapi mereka masih dapat bertapak dalam industri muzik Malaysia dengan kukuh hingga sekarang.
Pada tahun 2000, mereka telah menubuhkan kumpulan muzik maya bernama Tyco, yang ahlinya terdiri daripada mereka bertiga sendiri versi animasi.
Pada 18 April 2018, KRU mengumumkan pembubaran mereka selepas konsert terakhir mereka, Konsert Gergasi KRU25 yang akan berlangsung di Istana Budaya selama tiga hari mulai 4 hingga 6 Mei 2018, dengan tiket sebanyak 80 peratus telah dijual. Menurut Norman selaku ketua kumpulan, keputusan ini telah dipersetujui oleh beliau, Yusry dan Edry. Malah tiada perancangan untuk KRU membuat persembahan pertemuan semula pada masa hadapan berikutan setiap anggotanya sibuk dengan kehidupan dan kerjaya masing-masing. Norman turut memaklumkan entiti KRU dalam bidang perniagaan akan tetap berterusan dan beroperasi seperti biasa.
Sebuah rokumentari khas mengenai perjalanan muzik KRU telah diumumkan oleh Norman dan telah diterbitkan pada Julai 2018. KRU Mengumumkan Kini Kembali 10 Oktober 2024 Ahli Kumpulan Norman’ Edry’ Yusry.
