Kru kapal ditikam rakan sekerja

11 May 2026 • 1:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kru kapal ditikam rakan sekerja
Seorang lelaki warga China ditahan selepas dipercayai menikam rakan sekerjanya di sebuah kapal di perairan Selangor pada Ahad.
Image from: Kru kapal ditikam rakan sekerja
Mangsa cedera ditikam rakan sekerja di sebuah kapal di sini pada Ahad.

KLANG – Seorang lelaki warga China dipercayai ditikam rakan sekerjanya di sebuah kapal di perairan Selangor pada Ahad.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima permohonan bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) bagi memindahkan mangsa berusia 47 tahun itu untuk mendapatkan rawatan kira-kira jam 8.52 malam.

"Aset Penggalang 41 tiba di lokasi kira-kira empat batu nautika dari pantai Tanjung Rhu pada jam 11.51 malam. Kita telah dimaklumkan berlaku pergaduhan melibatkan dua kru kapal terbabit.

“Pergaduhan itu menyebabkan seorang kru mengalami kecederaan akibat ditikam di bahagian perut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Abdul Muhaimin berkata, susulan kejadian itu, seorang kru warga China berusia 36 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam cubaan membunuh.

**media[3516932]**

"Mangsa dan suspek kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan tiba kira-kira jam 1.15 pagi," katanya.

Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada ambulans sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.

“Suspek pula diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.