
MOGADISHU: Lanun Somalia yang merampas kapal tangki bahan kimia M/T Asana di Teluk Aden kini menahan kapal dan anak kapalnya sebagai tebusan di kawasan berlabuh di Somalia, menurut pegawai keselamatan.
Kapal berbendera Tanzania yang dirampas pada 16 Julai itu kini berada berhampiran bandar nelayan Jifle di timur laut Somalia, menurut dua pegawai keselamatan tempatan dari wilayah separa autonomi Puntland.
Majoriti daripada 19 anak kapal terbabit ialah warga India, manakala selebihnya terdiri daripada warga Syria, Yemen dan Mesir.
Sebuah lagi kapal yang turut dirampas, M/V Sward berbendera Syria yang ditawan pada 26 April, juga sedang berlabuh di luar pesisir Jifle.
Mereka berkata, lanun dipercayai merancang mengemudi M/T Asana lebih jauh ke selatan menuju wilayah Mudug, yang turut terletak di Puntland.
“Kesemua tujuh lanun itu berasal dari kawasan sekitar Garacad dan di situlah mereka mendapat sokongan serta simpati paling kuat. Sebab itu mereka terus bergerak ke selatan dan berkemungkinan kembali ke kubu kuat puak mereka,” kata seorang pegawai berkenaan.
Dua kapal tangki minyak yang dirampas lanun Somalia pada pertengahan April dan Mei lalu, iaitu M/T Honour 25 dan Eureka, turut ditahan bersama anak kapal masing-masing kira-kira 200 kilometer di utara Jifle.
Selepas kegiatan lanun mencapai kemuncaknya pada 2011, kejadian rampasan kapal di perairan Somalia merosot dengan ketara.
Namun sejak April lalu, lanun Somalia kembali mengalihkan tumpuan mereka ke Teluk Aden, di luar pesisir Yemen.-AFP
The post Kru kapal kapal tangki dijadikan tebusan lanun Somalia appeared first on Utusan Malaysia.






