
IPOH: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan peruntukan dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446), dipenuhi majikan.
Menterinya V. Sivakumar (gambar) berkata pihaknya melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK), sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan bagi memastikan majikan menyediakan tempat penginapan sesuai kepada pekerja mereka.
“Ini terutamanya bagi pekerja-pekerja asing yang sebelum mereka datang ke negara kita, kita hendak memastikan bahawa majikan menyediakan penginapan yang sesuai untuk untuk mereka,” katanya selepas merasmikan Simposium Keharmonian Perusahaan Negeri Perak Tahun 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata kementerian juga sedang merancang kaedah lain untuk mewujudkan penempatan di kawasan perkilangan, supaya masalah itu dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Banyak lagi perkara dan inisiatif telah diambil oleh JTK dan juga kementerian, untuk memastikan penginapan yang diberikan kepada pekerja dalam tahap ataupun keadaan yang baik,” katanya.
Akta 446 yang berkuatkuasa pada 2020, dilaksanakan bagi menangani isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas. -Bernama
