KSM tidak akan berkompromi dengan kekerasan, penindasan pekerja: Saravanan

2 Sep 2022 • 9:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan dan penindasan majikan terhadap pekerja tanpa mengira warga tempatan mahupun warga asing.

Menterinya Datuk Seri M. Saravanan(gambar) berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan didapati gagal mematuhi perundangan perburuhan termasuk perbuatan yang bercanggah dengan elemen-elemen buruh paksa.

“Mulai sekarang, KSM tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun ia masih dalam peringkat siasatan.

“Saya percaya dengan usaha ini, para majikan akan lebih peka dengan tindakan yang diambil terhadap pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini yang dikeluarkan susulan laporan kes mengenai seorang pembantu rumah warga Indonesia yang tidak dibayar gaji selain didera majikan.

Saravanan dalam pada itu turut mengingatkan para majikan untuk tidak bertindak di luar batas kemanusiaan terhadap pekerja mereka.

Mengenai kes berkenaan, Saravanan berkata mangsa kini sedang dirawat di Hospital Selayang dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah diarahkan untuk menyiasat mengenai perkara itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak mula bekerja pada 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000.-Bernama