KTM Komuter akan terima bayaran kad kredit, Apple Pay dan Samsung Pay tidak lama lagi

17 Nov 2023 • 4:38 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Awal minggu ini, KTM Komuter telah mula menerima pembayaran menggunakan kad debit di stesen Komuter Lembah Klang dan Utara. Ia selepas pemasangan sistem baru Pintu Kawalan Automatik (ACG) di stesen Komuter yang menelan belanja RM29 juta dan menyokong sistem pembayaran terbuka.

Bagaimanapun, sistem pembayaran terbuka masih belum dapat digunakan sepenuhnya. Buat masa ini, hanya kad debit keluaran bank tempatan sahaja yang boleh digunakan di stesen Komuter. Malah, ia akan dicaj RM30 sebagai nilai pegangan sementara (pre-auth) semasa masuk ke stesen, dengan baki dipulangkan dalam tempoh 1-3 hari selepas ditolak harga tambang perjalanan.

Kenapa pegang RM30 di kad debit?

KTMB menjelaskan, RM30 ini dipegang untuk memastikan dana mencukupi untuk tambang Komuter. Ia untuk meliputi harga tambang maksimum dan mengelakkan perjalanan pengguna terganggu akibat baki tidak mencukupi.

image is not available
Mesin ACG di stesen Komuter menerima sistem pembayaran terbuka

Selain kad debit berlogo MyDebit, sistem ACG yang baru di stesen Komuter turut menerima pembayaran kad Touch n Go dan kad Komlink sekarang. Pengguna yang mahu menikmati tambang konsesi 50% seperti warga emas, OKU dan pelajar sekolah, boleh menggunakan kad Komlink.

Penerimaan kad kredit, Apple Pay dan Samsung Pay

image is not available
Pintu Kawalan Automatik (ACG) di stesen Komuter. sumber

KTMB juga menyebut, ACG membolehkan sistem pembayaran terbuka digunakan di stesen Komuter. Tetapi ia dilaksanakan secara berperingkat kerana memerlukan sambungan ke setiap perkhidmatan pembayaran secara berasingan. Ini untuk memastikan setiap cara pembayaran benar-benar stabil sebelum dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Sehubungan itu, pembayaran menggunakan semua jenis kad kredit akan disediakan di stesen KTM pada akhir November 2023, jelas KTM. Ini akan menyediakan lebih banyak pilihan pembayaran dan fleksibiliti kepada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan KTM.

Di samping itu, KTM juga menyatakan bahawa pembayaran melalui Apple Pay dan Samsung Pay akan dilancarkan di semua stesen KTM pada awal tahun 2024. Ini membolehkan pembayaran yang lebih efisyen dan terbuka untuk kemudahan semua penumpang.

KTMB menjemput orang ramai yang mahu mendapatkan bantuan atau bertanya sebarang persoalan, untuk menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 0322671200.

[Sumber: KTMB]

Bacaan Berkaitan