KTMB, LNRE tingkatkan operasi kereta api rentas sempadan antara Malaysia-Laos
zulfadli
27/06/2023 - 17:55
KUALA LUMPUR 27 Jun - Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Lao National Railway State Enterprise (LNRE) memeterai memorandum kerjasama (MoC), menandakan pencapaian penting dalam perkongsian untuk meningkatkan operasi kereta api rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Laluan kereta api yang baru ditubuhkan telah berjaya menghubungkan rangkaian kereta api ASEAN ke koridor rel yang lebih luas di sepanjang Rangkaian Kereta Api Trans-Asia, membuka kemungkinan baharu untuk perjalanan kereta api antarabangsa.
Ia juga sejajar dengan rangka kerja platform Laluan Rel Singapura-Kunming (SKRL), yang membentuk bahagian penting inisiatif 'Belt and Road' (BRI).
Kerjasama KTMB dengan LNRE akan melibatkan pemindahan teknologi dan pengetahuan, yang mana kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran untuk merangka operasi kereta apinya sendiri.
Perkongsian itu juga membuka pintu kepada KTMB untuk meneroka peluang dalam sektor penumpang, seperti penjualan silang melalui platform tiket tunggal, untuk menyediakan mobiliti penumpang yang lancar melalui kereta api antara Malaysia dan Laos.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, pihaknya mengiktiraf peluang besar untuk melanjutkan perkhidmatan kargo 'Landbridge' dan membenarkan kedua-dua entiti menjalankan operasi kereta api rentas sempadan yang lancar dalam ASEAN ke China dan seterusnya.
"Ia kemudiannya akan meletakkan KTMB secara strategik sebagai pemain logistik serantau, dengan kerjasama rakan sejawatannya di ASEAN.

"Pengangkutan barang di sepanjang koridor kereta api ini menawarkan kelebihan yang besar kepada pelanggan di rantau ini.
"Ini termasuk kapasiti yang dipertingkatkan dan mengurangkan masa pengangkutan ke China dengan ketara dalam masa kira-kira 8 hari berbanding pengangkutan laut, yang biasanya mengambil masa 14 hari hingga 21 hari," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, Mohd Rani dan Ketua Pengarah LNRE, Daochinda Siharath menandatangani MoC tersebut bagi pihak organisasi masing-masing, yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone di Laos, hari ini. - DagangNews.com

