KTMB Sedia Perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri Edisi Pantai Timur

12 Mar 2025 • 4:34 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: KTMB Sedia Perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri Edisi Pantai Timur
Foto daripada KTMB

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sekali lagi meneruskan inisiatif dengan menyediakan perkhidmatan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri edisi Pantai Timur pada tahun ini bagi memenuhi keperluan pengguna untuk pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. Pada tahun ini, KTMB akan menyediakan empat (4) perkhidmatan bagi laluan KL Sentral – Tumpat – KL Sentral.

Tiket akan mula dijual pada 12 Mac 2025 (Rabu) bermula jam 8.00 pagi. Sepanjang tempoh perkhidmatan tren khas ini, sebanyak 312 tiket akan ditawarkan bagi setiap perjalanan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,248 tiket. Tiket-tiket ini merangkumi pilihan koc katil superior dan koc tempat duduk premier bagi memenuhi keperluan serta keselesaan para penumpang.

Menambah lagi daya tarikan, tren khas ini turut dilengkapi dengan koc buffet yang menyediakan pelbagai pilihan hidangan serta koc chillax yang menawarkan ruang santai eksklusif untuk para pengguna menikmati perjalanan dengan lebih relaks dan selesa.

Jadual waktu tren khas ini adalah seperti berikut:

Image from: KTMB Sedia Perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri Edisi Pantai Timur
Foto daripada KTMB

Tren ini akan berhenti di 16 buah stesen; antaranya seperti stesen Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

Tiket-tiket akan dijual dengan harga bermula daripada RM90.00 sehingga RM95.00 bagi perjalanan sehala.

Selain itu, pengguna dinasihatkan untuk tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi di pintu masuk.

Perkhidmatan tren khas ini disediakan sebagai salah satu alternatif pengangkutan sempena Aidilfitri kali ini bagi memudahkan orang ramai pulang ke Pantai Timur, selain daripada menggunakan jalan darat yang lazimnya mengalami kesesakan dengan kadar trafik yang tinggi pada musim perayaan. KTMB komited menawarkan perkhidmatan kereta api yang bukan sahaja selamat, malah selesa agar terutamanya kepada warga emas dan anak-anak kecil bagi perjalanan yang jauh.

Tiket boleh didapati secara tanpa tunai melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my, atau di mesin kios KTMB bagi kemudahan dan keselesaan pelanggan.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau layari platform media sosial rasmi KTMB (Facebook, Instagram) untuk maklumat terkini.