KTMB tambah dua unit ETS sempena Deepavali

LocalTravel
4 Oct 2025 • 3:36 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua unit tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan Padang Besar ke Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) dan sebaliknya sempena sambutan Deepavali pada 20 Oktober ini. 

KTMB dalam kenyataan hari ini berkata perkhidmatan tambahan itu akan beroperasi selama enam hari bermula 17 hingga 22 Oktober.

Penjualan tiket tren dibuka mulai jam 10 pagi, Selasa ini. 

“Tren tambahan ini menawarkan sebanyak 630 tempat duduk sehari, menjadikan jumlah keseluruhan tempat duduk sebanyak 3,780 ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan.

“Tambahan perkhidmatan ini bertujuan menampung permintaan yang tinggi semasa musim perayaan sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman,” jelas kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu lagi, bagi laluan Padang Besar ke KL Sentral, tren tambahan akan berlepas pada jam 11.05 pagi dan dijangka tiba pada 4.30 petang manakala perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar akan bermula jam 5 petang dan dijangka tiba jam 10.20 malam. 

Sehubungan itu, KTMB menyarankan orang ramai membuat pembelian tiket menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman web KTMB dan membuat pembayaran menggunakan KTM Wallet bagi mempercepat proses pembelian.

“Mereka juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.

“Para pengguna juga diingatkan untuk tiba 30 minit lebih awal di stesen kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas,” kata kenyataan itu. 

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman sesawang rasmi KTM www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. - 4 Oktober, 2025

The post KTMB tambah dua unit ETS sempena Deepavali appeared first on Scoop.