
Kota Kinabalu: Pasukan B-11, Sabah Kids mengharumkan nama negeri apabila menamatkan saingan di tempat ketiga kategori BOWL B-11 pada Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa 7-sebelah, Kuala Lumpur Cup 2025, yang berlangsung hujung minggu lalu.
Sabah Kids, satu-satunya wakil negeri dalam kategori itu, mara ke separuh akhir selepas membenam Infinity FC (Malaysia) 5-0 dalam aksi suku akhir kejohanan berprestij yang disertai lebih 14 negara itu.
Namun, langkah mereka terhenti di separuh akhir selepas tewas tipis 0-1 kepada MJT FC (Malaysia) yang kemudiannya melangkah ke perlawanan akhir.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Enggan pulang tangan kosong, anak-anak muda itu bangkit dalam penentuan tempat ketiga dengan menewaskan KDH Ampang 1-0 hasil jaringan tunggal Muhd Zahirul Mohd Nazib.
Terdahulu, Sabah Kids turut mencatat kemenangan meyakinkan ke atas Porti FC (Indonesia) 3-1 dalam peringkat kumpulan, sekali gus membuktikan kemampuan mereka di gelanggang antarabangsa.
Menambah kemanisan kejayaan, penyerang muda mereka, Muhd Zahirul, turut menduduki tempat ketiga senarai penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol — hanya dibezakan dua jaringan daripada pemenang Kasut Emas.
Ketua jurulatih, Musa Abdul Rahman, tidak dapat menyertai kejohanan namun tugas beliau digalas dengan baik oleh Zubair Shuhaime dan pembantunya, Sharizal Wahimin.
“Pencapaian ini hasil usaha gigih pemain dan sokongan kuat ibu bapa. Kami sangat berbangga,” kata Zubair.
Sharizal pula menyifatkan kejayaan itu sebagai pemangkin semangat untuk terus membangunkan bakat muda dari Sabah.




