
KUALA LUMPUR – Dua festival filem bakal mewarnai ibu negara apabila Festival Filem Asia Pasifik ke-63 (APFF63) dan Festival Kebudayaan Filem China-Malaysia ke-4 (CMFCF) berlangsung serentak dari 26 hingga 28 Mac tahun depan.
Penganjuran itu menandakan kali pertama kedua-dua festival digandingkan sebagai acara berkembar, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada penggiat industri untuk menjalin kerjasama serta memperkukuh pertukaran budaya menerusi filem.
Acara tersebut dianjurkan Yayasan Antarabangsa Yu On dengan kerjasama LOMO Pictures dan Asia Pacific International Arts Festival.
Penasihat APFF63 merangkap Pengerusi CMFCF, Aron Koh berkata, kerjasama tersebut bukan sekadar menghimpunkan dua festival pada tarikh sama, sebaliknya menggabungkan kekuatan masing-masing untuk memberi manfaat kepada penonton dan komuniti perfileman.
Menurutnya, penganjuran itu juga bertujuan mendekatkan masyarakat dengan filem serta budaya perfileman menerusi pengalaman yang melangkaui tayangan di pawagam.
Turut menyokong penganjuran tersebut ialah Setiausaha Agung Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA), Pansha yang mengalu-alukan kesinambungan APFF di Malaysia untuk tahun ketiga berturut-turut.
Pada majlis sama, bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman diumumkan sebagai salah seorang juri APFF63.
Kamil menyifatkan pelantikan itu sebagai peluang untuk menilai karya dan mengenali pembikin filem baharu serantau, selain meneruskan hubungan persahabatan serta persefahaman antara negara yang dipupuk menerusi festival berkenaan.
Penganjur turut mengesahkan pengarah aksi dan pelakon tempatan, Ayez Shaukat bakal menerima FPA Rising Icon Award (Male), iaitu pengiktirafan kepada bakat yang sedang menyerlah dalam industri perfileman serantau.
Sejak diperkenalkan pada 1954, APFF menjadi medan mengetengahkan karya filem Asia Pasifik, manakala CMFCF memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan kebudayaan dan perfileman antara China dengan Malaysia.
Bertepatan dengan sambutan 70 tahun kemerdekaan negara pada 2027, penganjur berharap acara berkembar itu dapat memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat pertemuan penggiat filem dan pertukaran budaya serantau. – KOSMO! ONLINE
The post Kuala Lumpur tuan rumah dua festival filem serentak Mac 2027 appeared first on Kosmo Online.

