Kuala Selangor destinasi pelancongan serba lengkap

Opinion
5 Jul 2025 • 11:08 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA SELANGOR, 5 JUL: Terletak hanya kira-kira sejam memandu dari ibu negara, Kuala Selangor terkenal bukan sahaja sebagai syurga makanan laut dan lokasi popular untuk menyaksikan keindahan kelip-kelip di Kampung Kuantan, tetapi turut menjadi “tuan rumah” pelbagai tarikan lain.

Kunjungan tiga hari dua malam menerusi program Star Healing 2025 anjuran Tourism Malaysia ke daerah itu baru-baru ini memberikan penulis satu pengalaman unik tanpa perlu berbelanja besar.

Malah, daerah ini amat sesuai dikunjungi oleh mereka yang ingin “berehat” sebentar daripada kesibukan kota dengan menyertai pelbagai aktiviti menarik yang tersedia di sini.

Muzium Permainan Tradisional

Menghimpunkan sebanyak 44 jenis permainan tradisional, bangunan Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati ini yang masih utuh dengan struktur asal, sebenarnya dibina pada 1904 dan dahulunya merupakan kediaman seorang penolong jurutera berbangsa India.

Pengunjung boleh melihat sendiri alat permainan yang pernah popular satu ketika dahulu di sekitar Selangor dan Semenanjung Malaysia termasuk congkak berusia 40 tahun, wau, dam kulit kerang, batu seremban dan baling tin dengan bayaran masuk serendah RM3 (dewasa warganegara), percuma (kanak-kanak) dan RM8 (bukan warganegara).

image is not available
Antara tarikan di Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor yang dibuka secara rasmi mulai 14 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Penolong Kurator Muzium Daerah Kuala Selangor Mohd Ismail Ramlan berkata muzium itu turut menyediakan ruang khas di bahagian bawah untuk pelawat mencuba sendiri permainan yang ada, menjadikan aktiviti itu pengalaman interaktif yang menyeronokkan buat semua peringkat umur.

“Pengunjung boleh bermain dengan permainan tradisional di ruang bawah rumah ini iaitu congkak serta beberapa permainan lain seperti dam dan buaian bagi dirakamkan menjadi kenangan apabila melawat Muzium Permainan Tradisional ini,” katanya.

Dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula 9.30 pagi, muzium itu sesuai untuk seisi keluarga dengan si anak dapat mengenali permainan tradisional manakala ibu bapa pula berpeluang mengimbau kembali zaman kanak-kanak mereka.

Kuala Selangor Mural Street Art

Lorong kecil yang cukup ikonik di Kuala Selangor ini menampilkan kira-kira 20 karya mural yang menceritakan kisah Bukit Malawati sebagai kubu pertahanan semasa abad ke-18 dan awal abad ke-19, terutamanya ketika menghadapi serangan Belanda.

image is not available
Seni jalanan di Kuala Selangor hidupkan pekan lama dengan lukisan mural berwarna-warni. Foto Pokok Kelapa

Antara lukisan yang menarik perhatian penulis ialah mural Legenda Makam Anak Dara, iaitu kisah seorang gadis yang hilang secara misteri pada malam pernikahannya.

Selain menghayati seni mural yang berwarna-warni, pengunjung juga boleh mengabadikan kenangan dengan bergambar kerana lokasi ini sangat instagram-worthy.

Eagle Feeding di Sungai Selangor

Aktiviti Eagle Feeding atau memberi makan kepada helang di Sungai Selangor kini menjadi antara tarikan utama di Pasir Penambang, di sini.

Pengalaman menaiki bot menyusuri Sungai Selangor selama 30 hingga 45 minit membawa pengunjung mendekati habitat semula jadi pelbagai spesies helang sambil menikmati pemandangan muara sungai yang memukau.

image is not available
Kumpulan agen pelancongan dari Thailand di bawa melihat helang ketika lawatan Anjung Utara di Pasir Penampang, Kuala Selangor pada 10 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Penulis sendiri berpeluang melihat secara dekat keunikan dua spesies helang yang mendiami kawasan ini, iaitu helang merah (Brahminy kite) dan helang hitam (Black kite) yang jarang dapat dilihat.

Harga tiket bagi aktiviti itu ialah RM25 (dewasa warganegara), RM20 (kanak-kanak warganegara), RM50 (dewasa bukan warganegara) dan RM40 (kanak-kanak bukan warganegara).

Selangor Fruit Valley

Jika anda ke Kuala Selangor dan ingin menikmati pengalaman agropelancongan yang penuh ilmu dan keseronokan, Selangor Fruit Valley (SFV) wajib ada dalam itinerari anda.

Terletak kira-kira 10 minit dari bandar utama, SFV merupakan sebuah ladang buah-buahan tropika dan sayur-sayuran yang dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan kini menjadi antara tarikan pelancongan agro paling popular di negeri itu.

image is not available
Selangor Fruits Valley di Bestari Jaya menyediakan pelbagai daya tarikan kepada pengunjung yang ingin menikmati pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran tempatan. Foto Tourism Selangor

Dengan keluasan mencecah 946 hektar, kawasan itu merangkumi pelbagai segmen pertanian dan penternakan serta kemudahan agropelancongan mesra keluarga.

Selain menikmati buah-buahan seperti kelapa, jambu batu, durian, ciku, mangga, manggis dan nangcem iaitu varieti unik gabungan nangka dan cempedak, pengunjung juga boleh menaiki tram mengelilingi kawasan ladang dan menyaksikan kehijauan menyegarkan mata.

– BERNAMA

View Original Article