Kualiti Udara Bertambah Baik, Tapi Jerebu Di Sarawak Masih Berterusan

LocalEnvironment
12 Sep 2026 • 8:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kualiti Udara Bertambah Baik, Tapi Jerebu Di Sarawak Masih Berterusan

KUCHING - Sarawak kekal sebagai kawasan paling terjejas akibat jerebu di Malaysia walaupun kualiti udara secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan di seluruh negara.

Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi di negara ini iaitu 236 pada jam 4 petang tadi, sekali gus meletakkan kawasan berkenaan dalam kategori sangat tidak sihat, menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Empat lagi kawasan di Sarawak turut merekodkan bacaan dalam kategori tidak sihat, iaitu Sri Aman dengan bacaan 199, Samarahan (176), Kuching (174) dan Sarikei (115).

Sementara itu, Bintulu, Mukah, Miri dan Samalaju masing-masing mencatatkan kualiti udara sederhana dengan bacaan IPU 97, 90, 89 dan 89.

Di seluruh negara, sebanyak 62 stesen pemantauan APIMS merekodkan kualiti udara sama ada pada tahap sederhana atau baik. Daripada jumlah itu, 50 stesen mencatatkan bacaan sederhana manakala 12 lagi merekodkan kualiti udara baik.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), peningkatan kualiti udara itu dipengaruhi keadaan cuaca serta hujan setempat.

Hujan dan ribut petir yang berlaku di beberapa kawasan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur turut membantu membersihkan udara secara semula jadi di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, keadaan di Sarawak dijangka berbeza apabila jerebu berpotensi kembali terkumpul pada waktu malam susulan keadaan yang lebih kering, meskipun hujan dan ribut petir diramalkan berlaku pada sebelah pagi dan petang.

Penduduk di kawasan yang terjejas, khususnya di Serian dan Sarawak bahagian barat, dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah serta memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan. - Getaran, 12 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved