Kuarters polis terbengkalai jadi hotel, dapat rating tertinggi dan penganjuran majlis paling banyak di Sungai Petani

11 Jul 2024 • 7:30 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

DAHULU kuarters polis, namun kini ia berdiri megah menjadi sebuah hotel yang dikenali sebagai Zaque’s Hotel.

Terletak di Jalan Kolam Air, Sungai Petani, Kedah, orang ramai yang melalui kawasan itu pasti akan menoleh banyak kali.

Bukan apa, bangunan empat tingkat itu yang masih mengekalkan identiti polis menimbulkan tanda tanya.

Pengarah Urusan Zaque’s Hotel, Muhammad Zairee Izwan Zahir mengesahkan, destinasi penginapan ala pangsapuri terbaharu di daerah Kuala Muda itu sebenarnya merupakan tapak projek penempatan anggota polis yang terbengkalai.

image is not available

“Ramai yang bertanya dan memang betul bangunan ini kuarters polis. Projek tersebut sudah lama terbiar dan nak dijadikan cerita, arwah ayah saya, Zahir Yahya cuba untuk membangunkan semula kawasan yang dipajak ini menjadi salah satu tempat tumpuan.

“Memang arwah jenis yang nekad jika mahu membuat sesuatu. Jadi, kerja pemulihan berek dijalankan berperingkat sejak tahun 2016 sehinggalah siap sepenuhnya pada tahun 2019,” katanya ketika dihubungi.

image is not available

Namun, di sebalik usaha membangunkan projek yang menelan belanja kira-kira RM8.6 juta itu, terselit kisah yang cukup menyayat hati.

“Kalau diimbau kembali, arwah ayahlah yang bertungkus-lumus menjayakan projek ini, namun beliau tidak berkesempatan untuk melihat kejayaan hotel ini selepas mengalami jangkitan paru-paru pada tahun 2020.

image is not available

“Ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan selepas negara dilanda wabak Covid-19 membuatkan ramai pengusaha hotel gulung tikar. Namun, alhamdulillah kami masih bertahan meskipun hanya tinggal RM1,000 sahaja di dalam bank,” ceritanya.

Beliau yang diberi tanggungjawab untuk mengambil alih pengurusan hotel tersebut percaya buah tangan milik ayah tersayang mampu pergi lebih jauh.

image is not available

Tidak hanya menawarkan 30 kamar jenis deluxe, orang ramai juga boleh memilih dua bilik VIP Suite dan 45 unit lagi berkonsepkan apartmen yang boleh memuatkan dua hingga empat orang.

Bukan sahaja tertumpu kepada kamar penginapan sahaja, usahawan muda berusia 27 tahun itu memperluaskan servis sewaan tujuh dewan lengkap dengan katering untuk majlis keramaian dan perkahwinan.

image is not available

Berkat kesungguhan beliau, Zaque’s Hotel diiktiraf sebagai hotel yang memiliki rating tertinggi dan penganjuran majlis paling banyak di Sungai Petani.

image is not available

Seperti usahawan lain, semestinya setiap pengusaha mahu memberi kemudahan yang terbaik kepada para pelanggan.

image is not available

Beritahu Muhammad Zairee, pada masa akan datang, beliau bercadang untuk membina kolam renang, tempat pengecasan kenderaan elektrik, panel solar dan kebun komuniti.

image is not available

Namun, tidak bermakna pengunjung yang hadir sekarang tidak akan menikmati kemudahan menarik.

image is not available

“Jangan risau, kami akan bawakan anda menaiki cruise menelusuri Sungai Merbok, selain berkayak untuk melihat panorama matahari terbenam. Anda juga dipelawa ke kebun ternakan tiram," ujarnya.

image is not available