Kuasa, Hak Keistimewaan Inspektor Shiela Digantung, Akui Tidak Berpunya Kerana…

26 Jun 2023 • 8:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sheila Sharon Steven Kumar - Gambar oleh Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan arahan perintah tahan kerja terhadap pegawai polis wanita Inspektor Percubaan, Sheila Sharon Steven Kumar.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, perintah tahan kerja itu dikeluarkan mengikut Seksyen 78 Akta Polis 1967.

Menurutnya, tindakan tatatertib itu diambil selepas inspektor wanita berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas tiga pertuduhan jenayah iaitu dua di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 506 kanun sama.

“Perintah tahan kerja itu mengikut Seksyen 78 Akta Polis 1967 dan telahpun disempurnakan.

“Sehubungan itu, segala kuasa-kuasa, hak dan keistimewaannya sebagai seorang pegawai polis adalah tergantung sehingga diputuskan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pagi tadi, Sheila mengaku tidak bersalah mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah menghina kesopanan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan berkata: "You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu," mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sheila turut membuat pengakuan sama terhadap tuduhan menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya, juga mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pemberita di Mahkamah Selayang, hari ini, Sheila berkata, dia masih belum berpunya disebabkan perwatakannya tegas sebagai seorang pegawai polis wanita.

“Saya masih bujang kerana terlampau tegas… tidak banyak lelaki sukannya,” katanya berseloroh seperti dilaporkan Harian Metro.

Malah wanita berusia 35 tahun itu turut mengakui cara percakapannya memang dalam nada yang tegas.

“Suara saya memang begini … cuba tanya penduduk di Petaling Jaya, Inspektor Sheila ini memang tegas orangnya.

“Ketua saya selalu menghantar saya untuk memberikan ceramah, saya sudah berkhidmat dari 2017 hingga tahun 2022…berapa banyak ceramah dalam bahasa Inggeris, berapa banyak dalam bahasa Melayu yang saya berikan.

“Cuba tanya penduduk di Petaling Jaya, Inspektor Sheila ini dia memang orang yang suka ikut prosedur…saya bukan seorang yang suka cakap mengarut.

“Saya tidak ambil rasuah, tidak akan berkompromi untuk mengurangkan seksyen dalam tuduhan tetapi banyak orang cuba merasuah saya,” katanya. – Getaran, 26 Jun 2023