
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (2 Februari), Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi hantaran di laman Facebook bertitah bahawa kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dianggap sebagai hadiah politik atau simpati peribadi.
Baginda bertitah bahawa kuasa pengampunan itu wajar dilihat dengan emosi dan jiwa yang tenang, bukannya dengan kepala yang dingin atau sentimen berlebihan.
“Kuasa pengampunan bukanlah hadiah politik, jauh sekali suatu bentuk simpati peribadi tetapi sebaliknya merupakan mekanisme perlembagaan yang sah dan berfungsi sebagai imbangan terakhir dalam sistem keadilan yang bersifat menghukum.”
Rekod Kesalahan Tidak Terhapus Walau Diberi Pengampunan
Titah baginda lagi, sebarang pengurangan hukuman tidak sesekali memadamkan sabitan mahkamah, menghapuskan rekod kesalahan atau membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.
“Pengampunan dan pengurangan hukuman ini juga bukan eksklusif kepada satu nama, satu parti atau satu kedudukan. Setiap tahun, ratusan banduan penjara daripada pelbagai latar belakang, termasuk kes jenayah berat dan ringan, menerima pengurangan atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.”
Sultan Pahang bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-120 di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.
Keputusan Pengampunan Dilakukan Selepas Berunding Dengan Banyak Pihak
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa keputusan pengampunan atau pengurangan hukuman tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya diputuskan melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil institusi utama negara atau negeri, sekaligus mencerminkan proses semak dan imbang yang berlapis.
Titah baginda lagi, dalam tradisi Raja Berperlembagaan, raja bukan alat sentimen awam dan bukan juga tunduk kepada tekanan politik, sebaliknya berperanan sebagai payung keadilan yang menenangkan ketika emosi memuncak serta mengimbangi keadaan apabila suara lantang cuba memonopoli kebenaran.
“Kuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam.”
Dalam perkongsian sama, Sultan Pahang turut menzahirkan rasa yakin bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai negara berprinsip dan tegas selain mendoakan agar negara ini dan negeri Pahang khususnya sentiasa berada dalam rahmat Allah.
Baca Artikel Berkaitan: “Presiden Majlis Peguam Tak Faham Undang-Undang, Pergi Belajar Semula” – Peguam Najib Razak
Baca Artikel Berkaitan: Titah Adendum: Semua Pihak Perlu Hormati Keputusan Mahkamah, Tidak Wajar Keruhkan Suasana – PMX

