
PELBAGAI kisah kejayaan pelajar dan ibu bapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang menerima keputusannya pada hari ini menjadi inspirasi.
Penyanyi Sharifah Zarina Wan Hassan tidak ketinggalan berkongsi kejayaan anak keduanya, Ariana Deena yang meraih keputusan cemerlang 8A 1B+.
Memuat naik momen penuh emosi menerusi Insta Story, penyanyi berusia 45 tahun itu berkongsi berita gembira berkenaan dan cabaran ditempuhi.

Malah anaknya, Adeena sempat berkongsi amalan yang dilakukan sepanjang bergelar calon peperiksaan penting itu.
"Kekuatan solat tahajud. Alhamdulillah.
"Usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Lapan bintang emas ini adalah hadiah kecil buat ibu bapa, guru-guru dan sahabat yang sentiasa setia di sisi sepanjang perjalanan ini.
"Pernah suatu ketika dahulu, seorang guru melabel saya sebagai 'pelajar lemah'.
"Katanya, saya hanya tahu bergaya di Instagram, menyanyi di pentas dan hanyut dalam dunia influencer. Hari ini, semoga dia melihat yang saya telah membuktikan sebaliknya.
"Buat diri sendiri, teruskan melangkah. Terbang tinggi walau tanah di kaki, akanku cari langit.
"Ini baru permulaan. Masih banyak yang menanti di hadapan, dan saya yakin saya mampu melangkah lebih jauh," titip Adeena.

Sementara itu, Sharifah Zarina pula mendedahkan anaknya pernah diperlekeh dan bertukar sekolah atas sebab tertentu, penyanyi Langit Ketujuh itu bersyukur ia keputusan yang tepat.
"Alhamdulilah Syukran Laka Rabbi. Tahniah anak @arianabuswani 8A's 1B+.
"Dia menangis teresak-esak, bukan hanya kerana kejayaan yang diraih, tetapi kerana luka yang dipendam sekian lama.
"Selama ini, dia pernah diperlekeh dan menerima kata-kata yang menyakitkan daripada beberapa orang guru hanya kerana dia aktif dalam aktiviti sekolah. Keadaan menjadi semakin teruk sehingga dia hilang semangat untuk ke sekolah.
"Bayangkan perasaan seorang anak yang sepatutnya berasa selamat di tempat menuntut ilmu, tetapi dia sebaliknya terluka.
"Tanpa berlengah, keputusan dibuat. Dalam tempoh kurang tiga hari, saya pindahkan dia ke sekolah baharu. Ternyata, itu adalah keputusan yang paling tepat.
"Hari ini, air mata itu bukan lagi kerana kesedihan tetapi tanda kekuatan, ketabahan dan kemenangan yang akhirnya berpihak kepadanya ," kongsinya.
Sekadar info, hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Buswani Abdillah, Sharifah Zarina dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Athalia Deena, Ariana Deena dan Alfenriz Habeeb.
