Kuasa veto Majlis Keselamatan PBB perlu dimansuhkan

WorldPolitics
27 Sep 2026 • 8:58 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kuasa veto Majlis Keselamatan PBB perlu dimansuhkan

NEW YORK: Kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti dicabar dan pada akhirnya dimansuhkan bagi menangani kegagalan majlis berkenaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata memperluaskan keanggotaan majlis itu sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan kepincangannya, sambil menegaskan penggunaan veto mesti dipersoalkan dan dicabar sekeras-kerasnya oleh setiap anggota Perhimpunan Agung PBB (UNGA), terutamanya dalam kes melibatkan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Penggunaan kuasa veto mesti dipersoalkan dan dicabar sekeras-kerasnya oleh setiap anggota Perhimpunan Agung ini. Terutamanya dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya semasa menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum UNGA ke-81 di sini pada Sabtu.

Mohamad berkata Resolusi 76/262 telah pun mewujudkan saluran kebertanggungjawaban antara Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung.

“Kita mesti memanfaatkan sepenuhnya Resolusi ini sebagai landasan ke arah kebertanggungjawaban yang lebih besar berhubung penggunaan kuasa veto,” katanya.

Beliau berkata masyarakat antarabangsa mesti memulakan usaha dari sekarang untuk melakukan pembaharuan dalam Majlis Keselamatan.

“Memperluaskan keanggotaan Majlis ini sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan kegagalannya. Kuasa veto inilah yang mesti dicabar, dan kuasa veto inilah yang mesti dihapuskan. Kita mesti memulakan usaha ini sekarang,” katanya.

Mohamad berkata masih ada masa untuk menyelamatkan orde global, sambil menegaskan kebuntuan dalam Majlis Keselamatan tidak sepatutnya membawa kepada kebuntuan PBB.

Beliau turut menekankan defisit kepercayaan yang semakin meningkat dihadapi PBB, dengan menyatakan kepercayaan hanya boleh dipulihkan melalui tindakan konkrit, termasuk memastikan undang-undang antarabangsa ditegakkan dan masyarakat di seluruh dunia terus percaya bahawa suara mereka tetap penting.

Majlis Keselamatan PBB merupakan badan utama PBB yang menangani keamanan dan keselamatan antarabangsa, dianggotai 15 ahli, termasuk lima anggota tetap yang mempunyai kuasa veto.

Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).-BERNAMA

The post Kuasa veto Majlis Keselamatan PBB perlu dimansuhkan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved