
KUALA LUMPUR - Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Hamid Ismail berkata permohonan untuk menggali semula kubur akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar hari ini.
Beliau berkata pihaknya kini sedang dalam perjalanan ke IPD Papar sebelum proses penggalian semula diteruskan.
"Kami kini dalam perjalanan ke IPD Papar. Selepas itu, proses penggalian akan dijalankan di Tanah Perkuburan Tanjung Hubi di Mesapol, Sipitang," katanya memetik laporan BH, hari ini.
Jabatan Peguam Negara (AGC), semalam mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur Zara hari ini, yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Prosedur itu adalah antara beberapa arahan yang dikeluarkan AGC untuk siasatan secara menyeluruh dilakukan bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.
Langkah itu bertujuan memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
AGC juga berpendapat, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh setelah meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian remaja.
Media sebelum ini melaporkan ibu Zara, Noraidah Lamat, 45, memohon kubur anaknya itu digali semula demi mendapat jawapan dan keadilan.
Pada Isnin lalu, AGC memaklumkan menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya. Bagaimanapun, AGC menyerahkan kembali laporan penuh siasatan awal kepada polis untuk melengkapkan siasatan.
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.
Allahyarham disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu. - 9 Ogos, 2025
The post Kubur Zara Qairina dijangka digali petang ini: Peguam appeared first on Scoop.


