
Insiden Bumbung Tercabut Cetus Kerja Naik Taraf Civic Centre
Kuching Civic Centre Bakal Dinaik Taraf Mulai Bulan Julai Ini. Selepas insiden bumbung Civic Centre yang uzur menyebabkan kepingan jubin tercabut dan jatuh ke kawasan rumah berhampiran, akhirnya langkah proaktif diambil. Kerja-kerja pembaikan bangunan ikonik di tengah bandaraya Kuching ini bakal dimulakan tidak lama lagi.
Menurut laporan media tempatan, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, mengesahkan bahawa keadaan Civic Centre kini memerlukan pembaikan segera demi keselamatan dan keselesaan orang awam.

“Kita akui sejak pandemik Covid-19, penyelenggaraan bangunan ini agak terjejas. Keadaan cuaca yang tidak menentu juga menyukarkan kerja-kerja baik pulih,” ujar beliau.
Bangunan Civic Centre yang selama ini menjadi lokasi utama pelbagai acara komuniti, kini bakal melalui fasa baharu. Tambah beliau lagi, pasukan teknikal dari Jabatan Kerja Raya (JKR) akan dihantar untuk menilai tahap keselamatan struktur bangunan tersebut.
Renovasi ini juga diberi perhatian khusus kerana lokasi strategiknya yang berada di tengah bandar – memudahkan akses orang awam untuk menggunakannya apabila siap kelak.
Projek Bumbung Baru: Metal Ganti Polikarbonat
Apa yang menarik, bumbung lama berasaskan polikarbonat akan diganti sepenuhnya dengan struktur logam yang lebih tahan lasak. Kos keseluruhan projek dianggarkan antara RM200,000 hingga RM300,000, dan kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula Julai ini.
Sebelum ini, keselamatan menjadi kebimbangan apabila jubin bumbung disedari jatuh akibat struktur yang semakin uzur. Kini, dengan projek penggantian bumbung ini, orang awam boleh menarik nafas lega – Civic Centre akan kembali gagah sebagai pusat komuniti yang aktif.
Baca juga cerita semasa:

