
Lupakan Bali dan Krabi, Data Ini Tunjukkan Kuching Lebih Visit-Worthy
Kuching Dinobat Antara Destinasi Musim Panas Paling Murah Untuk Dilawati di Asia. Musim panas sudah tiba! Ramai yang mula merancang percutian, mencari destinasi menarik yang tidak akan mengeringkan dompet. Dan tahukah anda, jawapannya mungkin terletak di bumi Sarawak, yang baru sahaja dinobatkan sebagai destinasi paling berpatutan di Malaysia untuk percutian musim panas ini?
Ya, anda tidak salah baca! Ibu kota Sarawak, Kuching, kini kembali menduduki takhta sebagai lokasi percutian paling mesra poket di Malaysia. Dengan purata kadar bilik sekitar RM227.64* sahaja setiap malam, Kuching berjaya merampas kembali gelaran tersebut daripada Kuala Terengganu yang sempat mendahuluinya pada April hingga Mei 2025. Ini tentunya satu berita baik untuk anda yang sudah lama ingin meneroka keindahan dan keunikan Borneo tanpa perlu risau tentang bajet!

Bagaimana Data Ini Dianalisis?
Maklumat menarik ini didedahkan oleh Agoda, salah satu platform pelancongan digital terkemuka dunia, dalam senarai “Destinasi Musim Panas Paling Murah” mereka untuk tempoh Jun hingga Ogos 2025. Data mereka menunjukkan pelbagai pilihan perjalanan di seluruh Asia untuk musim panas ini.
Data Agoda dianalisis berdasarkan kadar bilik purata bagi sepuluh destinasi paling popular di sembilan pasaran Asia, melibatkan tempahan yang dibuat antara Mac hingga Mei 2025 dengan tarikh daftar masuk antara 1 Jun dan 31 Ogos 2025. Harga yang disebut adalah secara purata dan tertakluk kepada perubahan.
Menurut Fabian Teja, Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei, “Data Agoda mendedahkan pelbagai pilihan perjalanan di seluruh Asia musim panas ini. Daripada Surabaya dan Tirupati hingga Hat Yai dan Kuching, kepelbagaian destinasi dalam senarai ini menunjukkan bagaimana perjalanan musim panas boleh menjadi kenangan dan mesra bajet.”
Secara serantau, Surabaya di Indonesia mendahului senarai sebagai destinasi musim panas paling berpatutan di Asia dengan purata kadar bilik hanya RM150.33* setiap malam. Diikuti rapat oleh Tirupati, India (RM158.92*) dan Hat Yai, Thailand (RM167.51*) yang melengkapkan tiga teratas. Destinasi lain dalam senarai ini termasuk Dalat di Vietnam, Iloilo di Filipina, Nagoya di Jepun, Kaohsiung di Taiwan, dan Daejeon di Korea Selatan, masing-masing menawarkan keunikan tersendiri pada kadar yang berbeza.
Kuching Sememangnya Kota yang Murah dan Kaya Dengan Pesona
Kuching sememangnya sebuah gateway ke Pulau Borneo yang menawarkan gabungan sempurna antara tapak warisan sejarah, hidangan tempatan yang lazat, dan akses mudah ke tarikan alam semula jadi yang menakjubkan seperti Taman Negara Bako. Suasana santai dan tenang di bandar ini menjadikannya pilihan yang tepat untuk percutian musim panas yang menenangkan dan sarat dengan pengalaman baharu.
Bayangkan, anda boleh meneroka jejak-jejak warisan yang kaya, menikmati hidangan ikonik seperti Laksa Sarawak 126 Laksa atau Mi Kolok Haji Salleh, dan pada masa yang sama, merancang pengembaraan ke hutan hujan Borneo yang berusia jutaan tahun, semuanya pada harga yang berpatutan. Ini membuktikan bahawa percutian yang memorable tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi.

Jadi, jika anda sedang mencari inspirasi percutian musim panas yang tidak akan membuat poket anda merana, Kuching adalah pilihan yang jelas dan bijak. Cepat rancang perjalanan anda, kerana peluang untuk meneroka keindahan Sarawak pada harga yang sangat berpatutan ini mungkin tidak datang selalu!
Kami cadangkan anda untuk membaca itinerari ringkas ini jika Kuching adalah destinasi pelancongan anda yang seterusnya:


