
SHAH ALAM - Program Kucing Angkat menjadi antara tarikan pengunjung program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif memaklumkan 10 ekor kucing disediakan untuk dijadikan sebagai 'kucing angkat' semasa program diadakan.
"Sebelum diadopsi, kucing-kucing ini telah divaksin dan dibuat pemeriksaan kesihatan," kata Mohd Azhar dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Ir. Cheremi Tarman.
Mohd Azhar menambah program juga diadakan untuk meningkatkan kesedaran komuniti setempat agar lebih bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan demi persekitaran bersih dan selamat.
"Selain itu, ia juga merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab," katanya.
Katanya lagi, MBSA turut mengadakan pertandingan kucing tercantik dengan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM450 dan hamper kepada tujuh pemenang yang terpilih.
"Pemenang pertama menerima hadiah wang tunai RM200 dan hamper, kedua RM150 dan hamper, ketiga RM100 dan hamper serta empat hadiah saguhati berupa hamper kepada pemenang tempat keempat sehingga ketujuh.
"Pelbagai aktiviti lain turut diadakan antaranya seperti 'Shah Alam Recycle Fun Run', kayuhan santai, senamrobik, dan persembahan kombo MBSA," katanya.
Katanya, MBSA juga turut menyediakan aktiviti kepada kanak-kanak seperti Klinik Pembangunan Sukan Silat, aktiviti memanah, Parrot Brothers, 'Petting Zoo', Perpustakaan Bergerak serta aktiviti kraf tangan Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA dan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheels.


