KOTA BHARU – Sejumlah 127 kuda dan 145 lembu di Kelantan memiliki Pet Pasport menerusi teknologi digital Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam usaha pemodenan pengurusan ternakan, hingga tahun lepas.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, penggunaan teknologi itu bertujuan meningkatkan kecekapan sistem pengurusan ternakan melalui pemantauan kesihatan, vaksinasi dan kawalan penyakit secara lebih sistematik.
“Pet Pasport berkenaan turut melibatkan pemasangan microcip sebagai pengenalan unik setiap haiwan yang direkodkan dalam sistem berpusat.
“Melalui RFID ini, setiap haiwan mempunyai identiti tersendiri yang membolehkan semua rekod kesihatan, vaksinasi dan rawatan disimpan secara sistematik dan boleh diakses,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri, Mohd Adanan Hassan (Pas-Kelaboran) mengenai hala tuju dan impak penggunaan teknologi RFID.
Tuan Mohd Saripudin berkata, setiap pemasangan microcip turut disertakan dengan rekod dalam buku pasport haiwan yang boleh diakses melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan.
Selain kuda dan lembu hibrid, katanya, sistem itu turut diperluaskan kepada haiwan kesayangan bagi memastikan kawalan dan pemantauan dilakukan secara lebih menyeluruh.
“Ini membolehkan kerajaan memantau kesihatan haiwan dengan lebih berkesan di samping meningkatkan kawalan penyakit serta keselamatan makanan,” katanya.
Menurutnya, penggunaan teknologi tersebut juga membantu memperkukuh sistem daya jejak ternakan dari peringkat ladang hingga ke pasaran.
“Kami akan memperluas pelaksanaan RFID dengan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penternak bagi memastikan penggunaan teknologi yang lebih menyeluruh,” katanya.
