Kugiran Masdo Menangis, Terharu Warga Indonesia Sanggup Berdiri Dalam Hujan Dengar Konsert

Music
24 Aug 2022 • 2:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Masdo baru pulang dari menjayakan persembahan di tiga lokasi iaitu Jakarta, Bekasi dan Bandung. - Gambar ihsan Instagram Kugiran Masdo

Penyanyi Kugiran Masdo tidak dapat menahan sebak melihat peminatnya di Indonesia sanggup berdiri  dalam hujan sepanjang persembahan mereka di negara itu baru-baru ini. 

Masdo baru pulang dari menjayakan persembahan di tiga lokasi iaitu Jakarta, Bekasi dan Bandung, selain  menghadiri enam temu ramah stesen radio dalam rangka promosi mereka di Indonesia. 

image is not available
Ramai menyangka Masdo berasal dari Indonesia. - Gambar ihsan Instagram Kugiran Masdo

“Ramai yang menyangka Masdo berasal dari Indonesia. Jadi, kehadiran kami ke sana diharap dapat memperkenalkan siapa Masdo yang sebenarnya.

“Banyak cabaran nak ke sana antaranya pihak penganjur bertukar lokasi konsert di kawasan ketenteraan menyebabkan penyanyi luar tak boleh buat persembahan. 

“Namun, terima kasih untuk team di sana kerana mereka carikan juga lokasi lain seperti di Bekasi, Bandung dan Jakarta. 

“Waktu persembahan kami kebetulan hujan, tapi pengunjung tetap tak berganjak. Habis persembahan kami menangis belakang pentas sebab terharu,” cerita Putuceri yang juga salah seorang anggota kumpulan Masdo ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Hausboom Music baru-baru ini. 

Bukan itu sahaja, Masdo terus mengembangkan pengaruhnya dengan kolaborasi bersama-sama pemuzik legenda Indonesia, Endang Sokamtie.

image is not available

“Endang Sokamtie boleh dikatakan band legenda di Indonesia. Mereka akan kumpulkan pemuzik untuk berkolaborasi dalam satu album. 

“Alhamdulillah, Masdo diundang berkolaborasi dan menyanyikan semula lagu Dinda versi Endang Sokamtie dan kami adalah artis Malaysia pertama yang terlibat dalam projek itu,” cerita Ali Sariah pula selaku vokalis. 

Tidak berhenti di situ, Masdo sedang mengintai peluang untuk menyanyikan sebuah lagu duet bersama-sama penyanyi dari Singapura dan Indonesia.

“Perancangan kami memang nak hasilkan lagu duet. Kita dah e-mel ramai artis dan tengoklah siapa yang berminat. Tapi mungkin akan datang ialah lagu duet bersama seorang artis wanita dari Singapura,” jelas Ali lagi. 

Masdo bakal tampil menerusi konsert Hausboom Music 2022 yang bakal berlangsung  di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada 1 Oktober.

Konsert yang berlangsung sembilan jam tanpa henti itu bakal menampilkan 12 selebriti seperti Hujan, Wings, Ruffedge, Joe Flizzow, Bunkface, Budak Nakal Hujung Simpang, Kapow, ForceParkBois, Chronicalz, Iqbal M dan Banyak Bunyik Republik.

Harga tiket dijual dengan bermula RM65, RM160, RM180, RM500 di laman sesawang www.ticket2u.com. - Getaran, 24 Ogos 2022