Kuil haram: Surplus tekad teruskan perhimpunan Sabtu ini

LocalPolitics
5 Mar 2026 • 3:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sophian berkata, perhimpunan itu sebagai tanda bantahan terhadap isu pencerobohan tanah yang didakwa berlaku secara haram di negeri ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus) tekad meneruskan perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di sebuah kuil Hindu berhampiran pintu masuk Hospital Bukit Mertajam pada 7 Mac ini.

Ketua Aktivis Surplus, Sophian Mohd Zain berkata, perhimpunan itu sebagai tanda bantahan terhadap isu pencerobohan tanah yang didakwa berlaku secara haram di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempertahankan tindakan pencerobohan tanah kerana ia dianggap sebagai pengkhianatan terhadap amanah rakyat.

"Kedaulatan undang-undang perlu ditegakkan tanpa sebarang kompromi atau dipengaruhi kepentingan peribadi mana-mana pihak.

“Sebarang tindakan wakil rakyat yang mempertahankan perbuatan pencerobohan tanah secara haram merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah yang telah diberikan oleh rakyat," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Tambah beliau, rakyat berhak menuntut ketelusan, keadilan dan integriti dalam setiap keputusan yang melibatkan hak milik tanah serta kepentingan awam.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa wakil rakyat yang didakwa mengkhianati amanah serta kepentingan rakyat perlu menerima hukuman daripada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Suara rakyat adalah suara keramat dan rakyat madani merupakan penentu masa depan negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, Polis Pulau Pinang telah memulakan siasatan berhubung satu hantaran di Facebook oleh seorang penceramah berkaitan cadangan penganjuran perhimpunan tersebut.

Siasatan itu dimulakan susulan laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pada 3 Mac lalu terhadap individu dikenali sebagai Zamri Vinoth.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang berunsur provokasi atau membuat spekulasi sehingga boleh mencetuskan niat jahat serta permusuhan antara kaum atau golongan penduduk di negara ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyertai atau menganjurkan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kekacauan atau menjejaskan ketenteraman awam masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu tular sebuah poster mengenai perhimpunan di Hospital Bukit Mertajam yang akan diadakan pada jam 3 petang.

Tujuan perhimpunan itu diadakan dipercayai untuk menggesa pihak berkuasa meroboh sebuah kuil yang terletak di hadapan hospital berkenaan.