Kulasegaran enggan ulas tindakan keluarga pelajar saman kerajaan

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 1:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kulasegaran enggan ulas tindakan keluarga pelajar saman kerajaan
Kulasegaran (tiga dari kanan) menyampaikan cek cura kepada penerima sempena Program Madani Kita 2026 Bersama Komuniti Buntong di Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Jalan Sungai Pari pada Ahad.

IPOH - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran enggan mengulas tindakan keluarga seorang pelajar Tingkatan Empat yang memfailkan saman sivil terhadap kerajaan berhubung kematian remaja berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) selain tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai kes berkenaan.

"Saya tidak mahu komen sebab ini di bawah Kementerian Pendidikan. Kedua, saya tidak mempunyai fakta penuh.

"Tetapi tindakan kerajaan dan tindakan polis akan ada. Proses biasa, kecuali ada sesuatu yang luar biasa dan kita akan beri tekanan kepada pihak berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Madani Kita 2026 Bersama Komuniti Buntong di Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Jalan Sungai Pari di sini pada Ahad.

Semalam media melaporkan, ibu dan kakak kepada Yap Shing Xuen, pelajar Tingkatan Empat yang maut pada 14 Oktober tahun lalu, memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa pihak berhubung kematian remaja berkenaan.

Dalam satu kenyataan, ibunya memaklumkan tindakan undang-undang itu difailkan pada 1 Oktober lalu menerusi Tetuan Surendra Ananth dengan menamakan beberapa agensi kerajaan, ibu bapa kepada remaja lelaki yang membunuh Yap serta remaja lelaki terbabit sebagai defendan.

Menurutnya, keluarga percaya tragedi menimpa Yap boleh dielakkan sekiranya pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya, khususnya dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, aspek bimbingan kepada ibu bapa dan kesihatan mental perlu diberi perhatian dalam usaha menangani isu berkaitan golongan muda.

"Semalam pun, saya ada satu program di Serdang. Saya berjumpa dengan lebih 1,000 ibu bapa. Mereka mengadakan kursus 10 minggu, setiap hari Sabtu, tiga jam.

"Itu untuk memberi bimbingan kepada ibu bapa untuk mengetahui dan memahami apa keperluan anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata, pendekatan mendidik anak juga berubah mengikut peredaran zaman, termasuk berkaitan kaedah disiplin.

"Macam bila saya dilahirkan dulu, rotan. Sekarang tidak boleh gunakan rotan lagi.

"Ramai yang berdepan masalah mental malah lebih kurang lima peratus kakitangan kerajaan turut berdepan situasi berkenaan. Jadi, tindakan kerajaan perlu diambil," katanya.

Katanya, kerajaan juga sedang menggubal undang-undang berkaitan perkara berkenaan dengan mendapatkan pandangan daripada agensi tertentu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved