Kulim Hi-Tech Park terima pelaburan RM132.2 bilion dalam 5 tahun akhir

22/04/2025 - 14:33
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 22 April — Kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park (KHTP) terus menjadi lokasi pelaburan utama dalam sektor pembuatan di Kedah, kata Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Pelaburan negeri, Dr Haim Hilman Abdullah.
Sejak penubuhannya pada 1996, KHTP kata beliau, berjaya mengumpul jumlah pelaburan masuk keseluruhan sebanyak RM181.5 billion, dan dalam tempoh tempoh lima tahun terakhir, ia sudah pun mampu memperoleh nilai mencecah RM132.2 bilion.
Keadaan itu katanya, secara tidak langsung menjadikan kawasan berkenaan antara taman teknologi tinggi paling berjaya bukan sahaja di Kedah, malah peringkat nasional selain sebagai pesaing utama kepada beberapa lokasi di Asia Tenggara.
Antara taman tersebut jelas Haim, ialah Singapore Science Park 1 dan 2 di Singapura, Eastern Economic Corridor di Thailand serta tiga wilayah iaitu Chonburi, Rayong dan Chachoengsao selain Ho Chi Minh Hi-Tech Park di Vietnam.
“KHTP juga rumah bagi beberapa firma terkemuka dunia seperti Intel, Infineon dan Osram. Ia memberi fokus kepada sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor, serta teknologi tinggi," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.
Selain itu jelasnya, KHTP walaupun ketika ini baru dalam Fasa 4A namun Kerajaan Kedah sedang merancang pembukaan Fasa 5 dengan keluasan lebih 202 hektar sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang ‘The Greater Kedah’.
Haim menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan Abdul Ghafar Saad (PN-Guar Chempedak) yang memohon penjelasan perkembangan pelaburan di Kedah, termasuk kawasan industri baharu dalam usaha menarik pelabur luar masuk ke negeri tersebut.
Kerajaan Negeri kata beliau, melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam memastikan ketersediaan kawasan perindustrian yang mencukupi bagi menampung peningkatan permintaan pelabur.
"Ini terutama firma berteknologi tinggi dari luar negara dan setakat ini jumlah keluasan kawasan perindustrian di Kedah adalah sebanyak 16,187 hektar meliputi berapa lokasi yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan," katanya.
Antaranya jelas Haim ialah Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SEBZ) dan Delapan Special Border Economic Zone yang dimajukan kerajaan negeri itu sebagai pusat logistik serta pengedaran serantau.
Berikutan kedudukan strategik berhampiran sempadan Thailand katanya, kawasan ini sangat pontensi dibangunkan selari dengan aspirasi kerajaan Kedah dan Malaysia selain merupakan antara pintu masuk utama perdagangan serantau.
Di kawasan tersebut juga kata beliau, terdapat Kedah Science Technology Park (KSTP) yang diyakini menjadi pemacu kepada kerancakan pertumbuhan ekonomi di utara Kedah dan secara keseluruhan, negeri itu memiliki cukup lokasi untuk dimajukan.
"Agensi kerajaan negeri, Invest Kedah telah membentuk satu pasukan dipanggil sebagai Kedah Investment Team (KIT) melibatkan penyertaan semua agensi negeri dan Pusat menjadi pemacu gerak kerja terancang dan strategik," kata Haim.
Pendekatan ‘pre-investment and post-investment’ juga katanya, membolehkan Kedah menjadi ‘penanda aras’ kepada negara khususnya melalui pelaksanaan E10 iaitu sistem pentadbiran untuk pelabur boleh mengeksport barangan lebih pantas.
Mereka jelas beliau, mampu malakukan demikian dalam 10 bulan dari tarikh perolehan kebenaran merancang dan pada masa sama, Kerajaan Negeri sedang mengusahakan tempoh kepada lapan bulan. - DagangNews.com
standard

