Kulinari bukan sekadar tukang masak

FoodCooking
14 Apr 2025 • 11:00 AM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Pelajar tajaan Mahsuri Dagang sertai lawatan sambil belajar ke Restoran De'Wan.

Ramai menyangka belajar dalam bidang kulinari hanya membawa kepada satu hala tuju iaitu menjadi tukang masak di restoran atau hotel.

Hakikatnya, industri ini jauh lebih luas dan menawarkan pelbagai peluang kerjaya yang menarik.

Daripada cef profesional, perunding makanan, pembuat kek artistik, food stylist, pencipta resipi sehinggalah usahawan makanan, semuanya bermula dengan ilmu dan kemahiran yang diasah melalui pendidikan formal dalam bidang kulinari.

image is not available
Iman

Dengan kemajuan teknologi dan media sosial, pelajar kulinari kini boleh menjadi pencipta kandungan, hos rancangan memasak atau pemilik jenama makanan tersendiri.

Bagi pelajar kulinari di Food Institute of Malaysia (FIM), Iman Ahmad Faizal, 21, keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang ini bukanlah satu kebetulan.

“Saya pilih bidang kulinari kerana ia menawarkan pelbagai cabang kerjaya. Makanan tidak akan pernah pupus kerana manusia memerlukannya untuk hidup,” katanya kepada Sinar Bestari.

image is not available
Antara menu yang dipelajari dalam kelas.

Iman menjelaskan bahawa walaupun sesetengah orang menganggap memasak itu mudah, realitinya setiap hidangan ada cabaran tersendiri.

“Bukan senang hendak jadi seorang cef muda. Kami berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam industri ini. Malah, pelajar didedahkan dengan ilmu keusahawanan, bukan sekadar memasak semata-mata,” ujarnya lagi.

Kongsi Iman, antara menu yang paling mencabar baginya ialah ikan patin masak tempoyak yang memerlukan teknik teliti untuk memastikan ikan tidak hancur ketika digaul dalam kuali.

“Masukkan ikan dengan cara yang betul dan mengendalikan tempoyak bukanlah semudah yang disangka. Salah teknik, hidangan boleh bertukar menjadi gulai ikan patin yang jelas berbeza rasa dan persembahan,” katanya.

Namun, Iman melihat setiap kegagalan sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri.

Menu nasi tomato dan ayam masak merah pula antara hidangan paling diingati dan membanggakan sepanjang pengajiannya.