
PETALING JAYA – Platform pengumpulan emas terkemuka negara, GoldNow mengumumkan pengenalan dua ciri baharu iaitu Gold Gifting dan Gold Savings bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis simpanan emas digital yang selamat dan mudah diakses di Malaysia.
Aplikasi yang dibangunkan oleh Kumpulan Tomei itu direka khas bagi membantu pengguna mengumpul emas secara berdisiplin untuk pelbagai sasaran peribadi, keluarga mahupun sebagai hadiah bermakna dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
Pengarah Urusan Kumpulan Tomei Consolidated Berhad, Datuk Ng Yih Pyng berkata, pengenalan dua ciri baharu ini menandakan pencapaian penting dalam usaha menjadikan pemilikan emas lebih bermanfaat dan relevan dengan kehidupan seharian masyarakat.
“Sama ada menyimpan untuk aspirasi masa depan atau menghadiahkan emas kepada insan tersayang, kami mahu memberdayakan lebih ramai orang untuk bermula secara kecil-kecilan, kekal konsisten dan membina nilai jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi ciri Gold Gifting, pengguna individu serta entiti perniagaan kini boleh menghantar emas secara terus melalui aplikasi serendah 0.001 gram. Langkah ini memberi alternatif moden dan bernilai kekal kepada syarikat berbanding amalan pemberian hamper atau ganjaran korporat tradisional.
Sementara itu, ciri Gold Savings pula memperkenalkan tabung simpanan khusus (Gold Saving Pots) bagi membolehkan pengguna merancang simpanan mengikut tujuan seperti ibadah umrah, pendidikan anak-anak, perkahwinan atau sasaran keluarga dengan tempoh fleksibel sehingga 120 bulan.
Bagi memastikan ketetapan simpanan, GoldNow turut menyediakan fungsi Auto Debit yang membolehkan potongan bulanan secara automatik melalui kad debit atau kredit.
Ketua Pegawai Eksekutif Tomei Digital, Geh Yang Chia menjelaskan, kejayaan pengumpulan emas bergantung kepada dua prinsip utama iaitu konsistensi dan disiplin, berbanding cuba meramal pergerakan harga pasaran.
“Dengan menyumbang secara berkala, pengguna dapat puratakan kos pengumpulan merentasi pelbagai keadaan pasaran sekali gus membina tabiat kewangan yang mampan bagi menyokong matlamat jangka panjang mereka,” jelas beliau.
Beliau menambah, GoldNow turut merancang untuk memperluas ekosistem platform dengan menghubungkan pengguna kepada rakan strategik berkaitan, seperti penyedia perkhidmatan perkahwinan atau pakej Umrah apabila sasaran simpanan mereka tercapai pada masa hadapan.
The post Kumpul emas secara berdisiplin, jangan sekadar ramal harga di pasaran appeared first on Kosmo Online.

