Kumpulan Kitacon raih kontrak lebih RM80 juta kerja pembinaan di City of Elmina
herman
03/04/2024 - 13:13
KUALA LUMPUR 3 April - Kumpulan Kitacon Berhad (Kitacon) menerima kontrak daripada Sime Darby Property (City of Elmina) Sdn Bhd untuk kerja-kerja pembinaan pembangunan utama melibatkan nilai kontrak sebanyak RM80.98 juta.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Kitacon berkata, anak syarikatnya, Kitacon Sdn. Bhd telah menerima surat anugerah pada 1 April 2024 untuk kerja-kerja di Elmina, Seksyen U15 Shah Alam.
"Kontrak ini melibatkan Fasa ER1B iaitu pemimbinaan 40 unit rumah teres dua tingkat (36’ x 70’), 86 unit rumah berkembar dua tingkat (40’ x 80’) dan 1 unit pencawang Tenaga Nasional Berhad (double chamber)," katanya hari ini.
Menurut Kitacon, kontrak berkenaan bermula pada 22 April 2024 dan akan diselesaikan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh permulaan.

Kumpulan itu berkata, kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
Bagaimanapun ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya sehingga tamat tempoh kontrak.
Tiada pengarah, pemegang saham utama dan orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu.
"Faktor risiko yang mempengaruhi Kontrak termasuk perubahan dalam persekitaran ekonomi, politik dan kawal selia dan risiko operasi seperti risiko penyiapan dan kekurangan bahan dan buruh mahir yang mana Kumpulan akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkannya," jelas Kumpulan itu. - DagangNews.com


