Kumpulan Kitacon raih kontrak RM54.5 juta bina 186 buah rumah teres di Rawang

Business & Finance
26 Jul 2024 • 5:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kumpulan Kitacon raih kontrak RM54.5 juta bina 186 buah rumah teres di Rawang

herman

26/07/2024 - 17:48

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kumpulan Kitacon Berhad meraih kontrak bernilai RM54.5 juta melibatkan projek pembinaan rumah teres dua tingkat di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Kitacon Sdn. Bhd., telah menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Rawang Lakes Sdn. Bhd. pada 26 Julai 2024 untuk projek tersebut.

"Kontrak ini melibatkan pembinaan dan penyiapan Fasa 5B yang terdiri daripada 186 unit rumah teres 2 tingkat sebuah substesen Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Projek ini akan dilaksanakan di lot PT 50867, Blok 5, Bandar Tasik Puteri, Mukim Rawang, Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, Selangor Darul Ehsan," katanya hari ini.

Kumpulan Kitacon berkata, kontrak ini akan bermula pada 1 Ogos 2024 dan dijangka siap dalam tempoh 20 bulan dari tarikh bermulanya kontrak.

"Kontrak ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan struktur pemilikan saham Kumpulan Kitacon Berhad.

"Walau bagaimanapun, kontrak ini diharapkan akan memberikan sumbangan positif terhadap pendapatan dan aset bersih setiap saham Kumpulan Kitacon Berhad untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya sehingga tamat tempoh kontrak," jelasnya.

Kata Kumpulan Kitacon, faktor risiko yang mempengaruhi kontrak termasuk perubahan dalam persekitaran ekonomi, politik, dan perundangan serta risiko operasi seperti risiko penyiapan dan kekurangan bahan serta tenaga kerja mahir, yang akan ditangani oleh Kumpulan dengan langkah-langkah yang sesuai untuk meminimumkan risiko tersebut.

"Tiada pengarah, pemegang saham utama, atau individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak ini," ujarnya. - DagangNews.com