Beberapa minggu lalu, Pusat Data Nasional Indonesia telah digodam oleh kumpulan penggodam Brain Cipher telah mengunci pengkalan data badan tersebut menggunakan perisian Lockbit 3.0 dan menyebabkan beratus-ratus badan kerajaan negara tersebut tidak mendapat akses kepada perkhidmatan sendiri.
Perkara ini dirumitkan oleh fakta bahawa tidak banyak badan kerajaan tersebut membuat sandaran untuk pengkalan data mereka, dan rata-rata menyebabkan kesemua perkhidmatan digital mereka tergendala selama beberapa minggu, dengan pihak kerajaan Indonesia mengatakan bahawa mereka menjangka perkara ini hanya akan diselesaikan sekitar bulan Ogos kelak.
Nampaknya kumpulan penggodam Brain Cipher telah berasa kasihan keatas kerajaan negara tersebut, dan telah membuat pengumuman bahawa mereka telah memberi kunci nyahsulit data tersebut kepada kerajaan Indonesia, dan memberitahu cara-cara untuk menyahsulitkan pengkalan data mereka.
Brain Cipher meminta maaf kepada rakyat Indonesia, dan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang niat jahat keatas negara tersebut, cuma mengingatkan kerajaan tersebut tentang kepentingan mempunyai sandaran data sekiranya serangan-serangan seperti ini berlaku, kerana banyak kumpulan penggodam lain tidak akan begitu baik untuk memberi jalan keluar semudah ini.
Brain Cipher juga mengatakan bahawa mereka sedang menunggu maklum balas pihak kerajaan Indonesia untuk melihat samada data mereka sudah dipulihkan dengan selamat sebelum mereka memadam data yang diambil oleh mereka.



