
Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia, KT01, yang terdiri daripada 284 jemaah telah selamat menjejakkan kaki di bumi Madinah.
Tabung Haji (TH) menerusi satu kenyataan berkata kesemua jemaah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada jam 8.21 pagi (waktu tempatan).
"Ketibaan mereka menandakan bermulanya perjalanan suci sebagai tetamu Allah setelah melalui penantian, persediaan dan doa yang panjang.
"Jemaah kumpulan pertama ini menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 yang berlepas dari KLIA pada jam 4.09 pagi waktu Malaysia tiba di Hotel Emaar Royal, Madinah pada kira-kira jam 9.45 pagi (waktu tempatan)," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, ketibaan rombongan jemaah disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, TYT Dato' Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman bersama Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Ridzuan Wahi dan Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Radin Adi Hilmi.
Para jemaah juga disambut oleh barisan pengurusan kanan dan petugas TH yang telah bersiap siaga lebih awal bagi memastikan setiap jemaah disantuni dengan sebaiknya.
Dato' Syed Mohamad Bakri berkata segala persiapan telah dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.

“Mewakili Kerajaan Malaysia dan TH, saya ingin merakamkan rasa syukur atas ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Madinah.
"Ini adalah hasil perancangan rapi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta komitmen berterusan TH dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah sentiasa menjadi keutamaan.
“Saya juga melihat petugas TH komited memastikan setiap jemaah bukan sahaja selesa dari segi kebajikan, malah dibimbing untuk mencapai haji yang mabrur, insya-Allah," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan, memperbanyakkan ibadah serta mematuhi segala panduan dan arahan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci.
Sementara itu, para jemaah akan mengikuti program yang telah diatur sepanjang enam hari di Madinah. Ia termasuk ziarah ke Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW, Raudhah serta lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Madinah.
TH juga memaklumkan dua lagi penerbangan kumpulan jemaah haji akan tiba di Madinah pada hari ini iaitu KT02 seramai 284 orang jemaah. Mereka dijangka tiba pada jam 2.10 petang.
Baca juga:Manakala KT03 pula adalah seramai 357 orang pada jam 9.10 malam waktu tempatan.
"Operasi Haji 1447H/2026M yang telah bermula secara rasmi hari ini akan membawa kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia bagi menunaikan ibadah haji secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines," katanya lagi.




