
KUALA LUMPUR: Pelawak, pengacara dan pelakon, Sharif Zero, mengakui rindu untuk kembali bergandingan bersama dua adik-beradiknya, Atu dan Melati, menerusi Kumpulan Zero yang pernah mencipta fenomena dalam industri komedi tanah air.
Menurut Sharif, kekangan masa serta komitmen kerja masing-masing menjadi faktor utama mereka sukar berkumpul dan membuat persembahan bersama seperti suatu ketika dahulu.
“Alhamdulillah, Kumpulan Zero masih ada. Cuma untuk kembali bersama memang agak sukar kerana masing-masing mempunyai komitmen kerja. Saiful pula menetap di Sabah, manakala tawaran yang diterima juga datang secara berasingan.
“Banyak tawaran di Sabah, tetapi saya pula tidak dapat ke sana kerana keluarga berada di sini. Kali terakhir kami berkumpul sebagai satu kumpulan untuk beraksi adalah ketika penggambaran filem Duyung 2.
“Saya memang rindu zaman kami membuat persembahan bersama. Namun, ruang untuk kami kembali bergabung agak terhad dengan keadaan sekarang seperti yang semua sedia maklum.
“Apa yang saya harapkan hanyalah doa daripada peminat. Semoga ada sinar untuk Zero kembali bersatu. Saya rindu adik-beradik saya dan hanya mampu berdoa agar kami dapat bergandingan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Weekend Fete Al Aqsa Carpets di Al Aqsa Carpets Factory Outlet, Sabtu lalu.
Dalam perkembangan sama, Sharif menyedari ramai peminat masih merindui program-program komedi yang pernah menghiasi kaca televisyen dan percaya ia mampu direalisasikan sekiranya mendapat sokongan padu daripada penonton.
“Saya perasan ramai yang berkongsi semula klip-klip program komedi di media sosial. Dari situ kita dapat lihat penonton masih dahagakan hiburan berunsurkan lawak.
“Saya sendiri tidak pasti sama ada peluang itu masih ada, tetapi saya yakin program seperti itu boleh diwujudkan semula. Apa yang penting, peminat komedi perlu menunjukkan sokongan yang berterusan. Insya-Allah, ia boleh direalisasikan.
“Bukan peminat sahaja, malah rakan-rakan dan ahli keluarga juga sering bertanya bila kami akan kembali muncul bersama. Agak berat untuk saya menjawab kerana saya sendiri tidak tahu bila masanya. Kalau ada rezeki dan sambutan yang baik, insya-Allah ada jalannya,” ujarnya.
Mengulas kemungkinan menerbitkan program komedi sendiri, Sharif berkata hasrat itu pernah terlintas di fikirannya, namun mengakui masih belum bersedia memikul tanggungjawab besar berkenaan.
“Saya memang pernah terfikir untuk menghasilkan sebuah program yang menghimpunkan ramai pelawak. Namun, masing-masing mempunyai komitmen tersendiri dan bukan mudah untuk mengumpulkan semua pada satu masa.
“Tanggungjawab menerbitkan program seperti itu juga sangat besar dan saya rasa buat masa ini saya masih belum bersedia,” katanya.
The post Kumpulan Zero masih ada, saya rindu adik-beradik saya – Sharif appeared first on Utusan Malaysia.

