
KUNAK: Pengguna di daerah ini sukar mendapatkan bekalan minyak masak paket bersubsidi 1kg apabila kebanyakan premis di Pekan Kunak tidak menjual produk tersebut dalam tinjauan pada Selasa.
Tinjauan Harian Ekspres mendapati kebanyakan premis perniagaan termasuk pasaraya dan kedai runcit hanya menjual minyak masak sawit dalam botol berkapasiti 2kg, 3kg, dan 4kg, dan lain termasuk minyak jagung dan minyak bunga matahari.
Jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna berkata pihaknya akan mengambil tindakan berhubung perkara itu bagi memastikan pengguna boleh mendapatkannya di pasaran dalam masa terdekat.
“Tindakan telah diambil oleh Unit Bekalan bagi mengatasi isu minyak masak bersubsidi. Disebabkan permintaan tinggi oleh pengguna, premis perniagaan di Kunak kehabisan bekalan itu,” katanya ketika dihubungi Harian Ekspres pada Selasa.
Menurutnya, berdasarkan laporan harian mengenai kedudukan bekalan semasa setakat 4 Julai (Isnin), hanya terdapat 1,234 paket minyak masak bersubsidi 1kg di pasaran.
Katanya, jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung keperluan semasa dan permintaan daripada pengguna khususnya.
“Disebabkan permintaan yang tinggi, bekalan cepat habis,” katanya.
Laporan yang dikeluarkan oleh Unit Kawalan Bekalan Harga & Antipencatutan KPDNHEP juga menyenaraikan sejumlah 2,116 minyak masak dalam botol yang dipantau harganya berada di pasaran di daerah Kunak, pada Isnin.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

