Kunjungan Putera Mahkota Petanda Hubungan Kukuh Malaysia-Brunei - PM

LocalPolitics
18 Aug 2024 • 7:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri dan Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah pada jamuan makan tengah hari di Seri Perdana - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia adalah isyarat penting bahawa hubungan kedua negara berada pada tahap terbaik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sekali gus menandakan kerjasama dua hala Malaysia dan Brunei akan terus diperkukuh.

Menurut beliau, kunjungan terbabit juga memperlihatkan kepada ramai kedudukan kedua negara yang berada di tingkat tertinggi.

“Kami berbicara panjang terkait usaha meningkatkan kerjasama Malaysia-Brunei dalam pelbagai bidang, khususnya perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan serta hal ehwal sempadan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

image is not available
Anwar Ibrahim menyambut keberangkatan tiba Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah - Gambar PMO

Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah berangkat tiba di Kompleks Seri Perdana pada jam 11.25 pagi, dengan diiringi isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah. 

Keberangkatan baginda berdua disambut Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar berkata, perbincangan turut meneroka potensi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai industri.

“Ia termasuk teknologi digital dan latihan, selain ruang untuk bersama-sama memperkasa hal ehwal syariah dan bahasa Melayu.

“Usai perbincangan, kami langsung makan tengah hari bersama-sama delegasi Malaysia dan Brunei. Saya turut menyajikan Putera Mahkota dan isteri dengan buah durian, di samping hidangan-hidangan lain,” katanya.

Anwar berkata, beliau turut menzahirkan penghargaan atas perkenan Putera Mahkota Brunei itu dan isteri atas kunjungan hormat dan lawatan rasmi ke Malaysia.

“Ia sekali gus membuka ruang untuk membina persahabatan yang lebih utuh demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan Brunei berada di Malaysia untuk lawatan rasmi lima hari bermula 17 hingga 21 Ogos ini.

Brunei adalah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak AS$2.04 bilion (RM9.31 bilion). - Getaran, 18 Ogos 2024