Kuota diesel subsidi tidak cermin keperluan: Pengusaha pelancongan

LocalTravel
30 Jun 2026 • 4:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kuota diesel subsidi tidak cermin keperluan: Pengusaha pelancongan

SEMPORNA: Pengusaha pelancongan di daerah ini menggesa kerajaan mengkaji semula kuota diesel 200 liter di bawah program Budi Madani kerana disifatkan tidak mencerminkan keperluan operasi sebenar industri.

Pengerusi Persatuan Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (Puspabumi), Mad Zafar Mad Zahala, berkata kuota sedia ada tidak mencukupi untuk menampung operasi harian syarikat pelancongan yang banyak bergantung kepada diesel.

Beliau berkata, industri pelancongan menggunakan diesel bagi operasi bas, bot serta penginapan di atas air yang bergantung kepada janakuasa untuk bekalan elektrik.

“Peruntukan semasa jauh daripada jumlah yang diperlukan untuk menyokong operasi harian dan boleh menjejaskan perkhidmatan yang disediakan pengusaha pelancongan tempatan.

“Kuota 200 liter itu tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan operasi sebenar perniagaan pelancongan di Semporna,” katanya dalam kenyataan, Isnin.

Mad Zafar turut melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan kenaikan harga diesel di Sabah kerana kos operasi di negeri ini berbeza daripada Semenanjung Malaysia dan perlu dinilai mengikut keadaan setempat.

Menurutnya, isu kuota diesel dan harga bahan api yang tidak ditangani boleh meningkatkan kos operasi, sekali gus menyebabkan kenaikan harga perkhidmatan pelancongan serta memberi kesan kepada kos sara hidup.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pengusaha, malah ribuan pekerja yang bergantung kepada sektor pelancongan untuk mencari rezeki,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan dan kementerian berkaitan mengkaji semula kuota diesel dengan mengambil kira realiti operasi perniagaan di Sabah, khususnya sektor pelancongan di Semporna.

Katanya, Puspabumi menyokong usaha menambah baik sistem subsidi, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira persekitaran operasi di Sabah dan bukannya menggunakan pendekatan seragam di seluruh negara.

“Kami berharap pandangan industri pelancongan diberi perhatian sebelum sebarang keputusan dasar utama dibuat kerana ia memberi kesan langsung kepada industri pelancongan negara,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved