
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (26 Mac) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan mengenai penyelarasan kelayakan penggunaan BUDI95 dari 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa pada 1 April.
Perkara itu dilakukan kerajaan sebagai salah satu usaha dalam memastikan subsidi bahan api masih lagi boleh dinikmati oleh majoriti rakyat di negara ini.
Bagi meringankan beban rakyat, BUDI95 masih dikekalkan kepada RM1.99 seliter.
Pengumuman ini dilakukan sehari selepas harga terbaharu minyak untuk tempoh 26 Mac-1 April diumumkan Kementerian Kewangan (MOF) yang menyaksikan kenaikan harga runcit RON95 tanpa subsidi RON97 dan diesel untuk Semenanjung Malaysia.
View this post on Instagram
Sekitar 90% pengguna guna 100 liter minyak petrol setiap bulan
Terbaharu Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan majoriti masyarakat di negara ini tidak akan terkesan dengen penyelarasan kuota RON95 berkenaan.
Ini kerana sekitar 90% pengguna di Malaysia hanya menggunakan bahan api berkenaan kira-kira 100 liter bagi setiap bulan.
Menurut beliau, perkara itu menunjukkan kehidupan harian majoriti besar rakyat iaitu sembilan daripada 10 orang akan berlangsung seperti biasa tanpa sebarang kos tambahan.
Bagi 10% pengguna yang mencatatkan penggunaan lebih daripada 200 liter sebulan, beliau menyeru agar golongan ini melihat penyelarasan ini sebagai satu dorongan ke arah gaya hidup yang lebih lestari.
“Di saat negara sedang menguruskan kesan krisis global ini, golongan berpendapatan dan berbelanja lebih besar ini digalakkan berbelanja dengan lebih berhemah.
“Susun semula perjalanan anda, kurangkan pemanduan yang tidak perlu, amalkan perkongsian kereta (carpool), atau gunakan kemudahan pengangkutan awam.
“Sedikit pengorbanan daripada kita semua membawa penjimatan yang besar buat kelangsungan hidup rakyat yang lebih memerlukan,” katanya di Facebook.
Penyelarasan bersifat sementara sampai keadaan dunia kembali stabil, 800 liter kekal untuk pemandu e-hailing
Tegas Menteri Dalam Negeri itu, langkah penyelarasan bagi had kelayakan BUDI95 yang akan berkuat kuasa pada 1 April itu hanya bersifat sementara sehinggalah keadaan dunia kembali stabil semula ekoran daripada konflik di Asia Barat.
Manakala bagi mereka yang merupakan pemandu e-hailing pula tidak perlu bimbang. Ini kerana kuota buat mereka masih dikekalkan pada 800 liter sebulan untuk kelangsungan rezeki.
Menurut Saifuddin lagi, bil subsidi bagi bahan api negara meningkat sebanyak enam kali ganda dari RM700 juta kepada RM4 bilion pada setiap bulan ekoran konflik itu.
Hal itu menyebabkan kerajaan terpaksa untuk menyeimbangkannya melalui penyelarasan sementara BUDI95.
Serap kenaikan harga dunia, supaya kos sara hidup tak terjejas dengan mendadak
Ujarnya Kerajaan MADANI juga mengambil pendirian yang jelas di mana rakyat mesti dilindungi dengan meneruskan subsidi BUDI95 meskipun dunia kini sedang berdepan dengan tekanan global yang mencabar.
Saifuddin mengatakan kerajaan buat yang terbaik dengan menyerap kenaikan harga dunia agar kos sara hidup rakyat tidak terjejas secara mendadak atau drastik.
“Dunia hari ini sedang berdepan tekanan global yang semakin mencabar. Lonjakan harga minyak mentah melepasi paras AS$100 (RM400.99) setong memberi kesan besar kepada banyak negara.
“Di Hong Kong, harga petrol mencecah sekitar RM14 seliter. Di Singapura pula, sekitar RM10 seliter. Inilah realiti yang sedang dihadapi dunia hari ini.
“Namun di Malaysia, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian yang jelas iaitu rakyat mesti dilindungi,” jelasnya lapor Berita Harian.
Saifuddin turut mengatakan sebagai sebuah ‘keluarga besar’, negara perlu buat pilihan yang bijak untuk tidak membiarkan RM4 bilion duit rakyat ‘terbakar’ di atas jalan raya pada setiap bulan.
Katanya lagi, wang penjimatan subsidi itu sangat diperlukan bagi:
- Membina lebih banyak sekolah
- Menaik taraf hospital
- Beri bantuan tunai terus kepada rakyat yang lebih memerlukan
“Bagi memastikan keseimbangan ini, Kerajaan MADANI menyelaraskan had kelayakan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April ini.”
