KLANG, 27 OKT: Sebanyak 500 Kupon Digital Rahmah bernilai RM10 diedar kepada orang ramai di bazar Deepavali Jalan Tengku Kelana di sini, hari ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata edaran kupon sempena jelajah Platform Selangor (PLATS) Masuk Bazar Deepavali itu bagi menggalakkan pendigitalan perniagaan dalam kalangan peniaga.
“Ia adalah sebahagian daripada peralihan kepada pendigitalan, menggalakkan mereka mendaftarkan diri (dalam PLATS) dan menggunakan platform dalam talian untuk gerbang pembayaran.

“Saya percaya ini adalah satu pintu yang boleh membuka ruang kepada peniaga masuk dalam era digital untuk memperdagang barangan mereka.
“Jadi usaha ini kita akan teruskan kerana (hasrat) ‘Negeri Pintar’ bukan hanya teknologi termoden tetapi penggunaan dan aplikasi dalam kalangan rakyat,” katanya ditemui selepas melawat bazar berkenaan.
Amirudin meluangkan masa kira-kira 45 minit bertemu dan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar itu selain turut mengedarkan duit raya kepada kanak-kanak.

Beliau turut turut memenuhi permintaan pengunjung yang mahu bergambar dan berswafoto bersamanya.
Sebelum ini Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata 40,333 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdaftar dengan PLATS sejak diperkenal pada 2020.
Menurut Ahmad Azri Kerajaan Negeri menyasar 50,000 peniaga menyertai PLATS menjelang tahun depan.


The post Kupon digital galak pendigitalan dalam perniagaan, usaha ke arah negeri pintar appeared first on Selangorkini.
